KUCHING: Kanowit mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 182, ketika 13 kawasan di negeri ini merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat jam 10 pagi hari ini.
Berdasarkan rekod Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Lubok Antu mencatat bacaan kedua tertinggi iaitu 179, diikuti Serian (170), Kuching (169) dan Betong (168).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan dan Sri Aman masing-masing 163, Lundu (162), Sibu (158), Sarikei (151), Bintulu dan Tebedu masing-masing 127 serta Kapit (110).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana dan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik.
Sementara itu, Samalaju mencatat bacaan 79, diikuti Miri (77), ILP Miri dan Limbang masing-masing 64 serta Lawas (62), yang semuanya berada pada tahap sederhana.
Bario pula merekodkan bacaan 50, iaitu pada sempadan kategori baik dan sederhana.
NREB turut memaklumkan tiada data terkini bagi Mukah pada waktu berkenaan.
Menurut NREB, bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar dominan, manakala bacaan Betong diperoleh menerusi sistem Mobile Continuous Air Quality Monitoring (MCAQM).






