MOSCOW/KYIV: Satu daripada kapal terakhir yang dibenarkan untuk mengangkut bijirin di bawah Perjanjian Bijirin Laut Hitam, dijadual berlepas dari pelabuhan Odessa di selatan Ukraine pada Ahad.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kapal itu sarat dengan muatan lebih 15,000 tan biji sesawi.
Moscow sehingga kini tidak menunjukkan kesediaan untuk melanjutkan perjanjian itu.
Kremlin menuntut sekatan ke atas eksport makanan dan baja Rusia dilonggarkan, tetapi syarat ini tidak dipenuhi.
Terdapat kebimbangan, terutamanya di Afrika, bekalan bahan makanan yang penting itu akan menjadi lebih terhad. PBB serta kebanyakan negara lain merayu Rusia untuk bersetuju memperbaharu perjanjian itu.
Perjanjian bijirin itu akan tamat pada Isnin.
Selepas konflik Rusia-Ukraine tercetus, Moscow telah menyekat pelabuhan Laut Hitam Ukraine selama berbulan-bulan, sekali gus menghalang eksport bijirin dilakukan yang mencetuskan kebimbangan kenaikan harga atau kebuluran di beberapa kawasan memandangkan Ukraine satu daripada pembekal bijirin terbesar di dunia. | – Bernama-dpa



