MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah kapal tunda kerana tidak mematuhi Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata kapal tunda itu bersama tiga kru warga tempatan ditahan di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat laut Lutong kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata tangkapan dibuat oleh pasukan rondaan Maritim ketika menjalankan Op Khas Pagar Laut 1/2025, Op Permai 01/2019, Op Naga Timur serta Op Tiris 3.0 di kawasan perairan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap kapal tunda tersebut mendapati berlaku perlanggaran di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 apabila pihak pengurusan gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan seperti yang diwajibkan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Khairol berkata kapal tunda bersama tiga kru lelaki berusia antara 23 hingga 45 tahun telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut.



