KAPIT: Bahagian Kapit mengorak langkah sebagai pemacu utama pembangunan tenaga hijau Sarawak apabila muncul sebagai penyumbang terbesar kepada kapasiti penjanaan elektrik negeri, sekali gus memperkukuh aspirasi wilayah ini muncul sebagai ‘Bateri ASEAN’.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata peranan strategik itu didorong kewujudan Empangan Hidroelektrik Bakun dan Murum, selain bakal diperkasakan lagi menerusi Empangan Hidroelektrik Baleh yang kini dalam pembinaan.
Menurut beliau, gabungan ketiga-tiga projek berimpak tinggi tersebut meletakkan Bahagian Kapit sebagai antara aset paling strategik dalam landskap tenaga boleh diperbaharui Sarawak, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab tenaga utama di rantau ini.
“Saya difahamkan kapasiti penjanaan elektrik sedia ada di Sarawak pada tahun ini adalah sebanyak 5,898 megawatt (MW) dengan 58 peratus daripadanya disumbangkan dari loji hidroelektrik di Bahagian Kapit, iaitu Empangan Bakun yang berkapasiti 2,520MW dan Empangan Murum berkapasiti 944MW,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.
Alexander berkata, kapasiti penjanaan elektrik negeri dijangka terus meningkat apabila Empangan Hidroelektrik Baleh siap dan mula beroperasi.
Beliau menambah, selain pembangunan hidroelektrik, Kerajaan Sarawak turut merancang pelaksanaan projek solar terapung di Empangan Bakun dan Empangan Murum bagi meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui negeri.
Katanya, kerajaan juga sedang meneliti pembangunan teknologi sumber kuasa bertingkat dan sistem penyimpanan tenaga hidro pam di Kapit sebagai langkah memperkukuh kapasiti penyimpanan tenaga serta menjamin keselamatan bekalan elektrik negeri pada masa hadapan.
Menurut beliau, Kapit turut memainkan peranan penting dalam sektor tenaga menerusi pengeluaran arang batu yang digunakan sebagai bahan api di Stesen Jana Kuasa Sejingkat yang mempunyai kapasiti penjanaan 120 MW.
“Jumlah maksimum eksport arang batu dari Kapit ke loji berkenaan dianggarkan mencecah 40,000 tan metrik sebulan, sekali gus mencerminkan sumbangan berterusan wilayah ini kepada sektor tenaga negeri.
“Gabungan sumber hidroelektrik, tenaga solar dan arang batu menjadikan Bahagian Kapit sebagai antara aset strategik Sarawak dalam menjayakan agenda pembangunan tenaga,” katanya.
Katanya, konsep Bahagian Kapit sebagai Hab Tenaga Hijau Sarawak bukan sekadar slogan pembangunan, sebaliknya mencerminkan hakikat bahawa sebahagian besar tenaga yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri Sarawak dijana di Bahagian Kapit.



