KUCHING: Kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun, mengenai tiada ketetapan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanyalah sekadar pandangan sebagai seorang peguam.
Bagi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, kenyataan tersebut sekadar cadangan peribadi seorang peguam tentang pembentukan Malaysia.
“Kamu letakkan 10 peguam dalam satu bilik dan kamu akan mendapat pandangan yang berbeza.
Secara peribadi, saya melihat ia (cadangan Azhar) merupakan pandangan peribadinya tentang pembentukan Malaysia.
“Beliau seorang bekas Speaker Parlimen tetapi bukan pensyarah atau profesor undang-undang yang mengkaji secara mendalam mengenai pembentukan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Kriket Borneo, hari ini.
Mengulas lanjut, Karim menegaskan pandangan yang baik perlu ada sokongan daripada para penyelidik dan tambahan hasil kajian yang dijalankan tentang sejarah pembentukan Malaysia sebelum ini.
Menurutnya, Malaysia telah dibentuk dengan penyertaan daripada Singapura, Sabah dan Sarawak; dalam erti kata lain terdapat persepakatan yang telah dibentuk ketika terbentuknya Malaysia pada tahun 1963.
“Jika kita lihat kepada bilangan kerusi Parlimen waktu itu, dua pertiga daripada jumlah kerusi dipegang oleh Malaya, dan satu pertiga dipegang oleh tiga rantau lain iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak.
Ini adalah satu bentuk perlindungan dan Sarawak mempunyai hak-hak tersendiri, itulah sebabnya perlindungan itu diletakkan di sana,” katanya.
Tambahnya, seseorang itu tidak seharusnya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya turut merujuk kepada minit-minit mesyuarat yang lain yang telah wujud sebelum penggubalan Perlembagaan Malaysia.






