KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis Kuching City FC mampu menumpaskan pasukan kendalian Kim Pan Gon, Selangor FC menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025-2026.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata, keyakinannya itu bersandarkan prestasi Kuching City FC, yang secara tidak langsung membawa nama Sarawak dalam kancah bola sepak negara ketika ini.
“Kita ada 90 minit lagi yang perlu dilalui tapi saya sangat yakin dengan prestasi Kuching City FC, kita akan menang dalam perlawanan kedua,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Konsert Peringatan ke-31 Teresa Teng di sini, hari ini.
Justeru, Karim mengajak seluruh rakyat Sarawak untuk bersama-sama hadir ke Stadium Negeri, Petra Jaya pada 18 April ini bagi memberikan sokongan kepada Kuching City FC.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya pada malam 5 April lalu, Kuching City FC mempamerkan aksi yang membanggakan apabila terikat 1-1 dengan Selangor FC.
Pada pertembungan itu, skuad Gergasi Merah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon dikejutkan apabila Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakkan Kuching City di hadapan.
Pun begitu, Moraes menjaringkan gol dari jarak jauh pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan seri 1-1, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Pan Gon sejak mengambil alih pasukan pada awal Januari.
Pan Gon kekal dengan rekod tanpa kalah sepanjang 14 perlawanan bersama dengan Selangor dengan merekodkan 10 kemenangan dan empat keputusan seri dalam semua pertandingan setakat ini.



