KOTA SAMARAHAN: Karnival Liga Futsal Veteran dan Bawah 12 Tahun 2025 melabuhkan tirainya semalam.
Seperti diramal, penguasaan hebat dipamerkan oleh pasukan pilihan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Kategori veteran diungguli RV-FOSS FC sekali gus membawa pulang wang tunai, piala dan barangan sukan jenama PUC.
Sementara itu, kategori Remaja Bawah 12 Tahun pula diungguli pasukan ABS Tigers dan turut membawa pulang wang tunai dan piala.
Dalam pada itu, naib juara dan tempat ketiga kategori veteran milik Sukahati FT serta The White FT. Kedua-dua pasukan terbabit menerima wang tunai, piala serta barangan sukan jenama PUC.
Pasukan PFA Odin pula muncul naib juara kategori Remaja Bawah 12 Tahun. Pasukan Tambirat A dan ABS TFC yang tewas di peringkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama. Ketiga-tiga pasukan terbabit menerima wang tunai dan piala.
Pengerusi karnival, Abdul Muhtalip Tegak memberitahu, karnival terbabit dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak V-FOSS FC dan Akademi Bola Sepak Remaja Samarahan (SYFA) dan berlangsung di gelanggang futsal Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan.





