KUCHING: Karnival anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus menjadi platform penting dalam membantu usahawan meluaskan pasaran ke seluruh negara, seterusnya menembusi peringkat antarabangsa.
Karnival tahun ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 30 November, menghimpunkan 103 lot usahawan dengan sasaran 65,000 pengunjung serta potensi jualan sebanyak RM1.3 juta.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata penyertaan usahawan dari Pulau Pinang pada edisi kali ini mendapat sambutan luar biasa apabila produk yang dibawa habis terjual dalam tempoh sehari, biarpun stok disediakan untuk tiga hari.
“Situasi ini menunjukkan penerimaan tinggi masyarakat di sini, khususnya rakyat Sarawak, terhadap produk dari luar termasuk dari Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, saya berharap hubungan erat antara wilayah ini dapat diteruskan kerana kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberi manfaat besar kepada usahawan serta petani di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Medan Niaga Satok 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, FAMA turut mengusahakan kemasukan produk segar dari Sarawak seperti kelapa dan pisang, selain mendapatkan bekalan tambahan dari Sabah bagi menampung kekurangan semasa.
“Tidak timbul masalah memasarkan komoditi dari Sarawak ke Semenanjung.
“Usahawan Sarawak wajar terus memperkukuh kualiti dan menjaga kredibiliti sebagai pembekal boleh dipercayai untuk bergerak bersama dalam arus ekonomi perdana,” ujarnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata prestasi Medan Niaga Satok terus memberangsangkan dengan jualan meningkat daripada RM62.23 juta pada 2023 kepada RM65.67 juta pada 2024, manakala rekod sehingga Oktober 2025 mencecah RM55 juta.
“Pencapaian ini membuktikan Medan Niaga Satok kekal sebagai pusat pertumbuhan ekonomi rakyat serta nadi pemasaran agromakanan di Sarawak.
“Bagi pelancong, medan niaga ini adalah destinasi wajib untuk merasai pengalaman autentik pasar rakyat Bumi Kenyalang dan simbol warisan, identiti serta kekayaan tradisi pasar Malaysia,” jelasnya.
Selain menjadi pusat utama pemasaran agromakanan negeri, Medan Niaga Satok turut dipromosikan sebagai destinasi agropelancongan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Usaha itu memberi ruang kepada pelancong, khususnya dari Semenanjung Malaysia, untuk mendapatkan produk istimewa Sarawak seperti ikan terubuk masin, kuih lapis asli serta barangan dari Pulau Pinang dan negeri lain.




