KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Cawangan Kuching bakal menganjurkan Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) Zon Selatan selama dua hari bermula 24 hingga 25 Jun depan.
Karnival sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Peringkat Sarawak itu menampilkan tiga sukan utama merangkumi sukan pickleball, tenpin boling dan juga badminton.
UKAS dalam satu kenyataan berkata, pengamal media khususnya di kawasan Kuching dipelawa untuk menyertai ketiga-tiga kejohanan tersebut.
“Sehubungan itu, rakan-rakan UKAS dipelawa menyertai KASUMes dengan mengisi borang penyertaan di dalan kod QR yang disertakan,” kata kenyataan tersebut.
Setiap peserta hanya dibenarkan menyertai satu atau dua acara sukan sahaja.
Peserta juga tidak boleh memilih rakan sepasukan sebaliknya beregu atau rakan pasukan akan dipilih berdasarkan cabut undi.
Terdahulu pada Mei, KASUMeS 2025 bermula di Sibu dan dilangsungkan pada Mei.
KASUMes 2025 menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi media dari zon tengah Sarawak menerusi dua acara sukan utama yang dipertandingkan iaitu futsal dan pickleball, dengan penyertaan enam pasukan futsal lelaki, dua pasukan futsal wanita, serta 36 pemain pickleball.



