MIRI: Atlet Pembangunan Tinju (B.A.D) Miri mempamerkan prestasi cemerlang pada Karnival Tinju Bakat, Junior dan Remaja Sibu Edisi Ke-2 2026 baru-baru ini.
Pasukan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Melvin Wee dan Claryst Kuon (jurulatih/pengurus) itu berjaya merangkul keseluruhan 13 pingat yang merangkumi lima emas, enam perak dan dua gangsa.
Pingat emas disumbangkan oleh Alexzander Anji Anak Kenndy (42kg/Lelaki Bawah 17 Tahun), Alexseanlam Anak Juti (48kg/Lelaki Bawah 17 Tahun), Alexzander Madang (54kg/Lelaki Bawah 19 Tahun), Mohammad Zaid Abdullah (57kg/Lelaki Bawah 19 Tahun) dan Awang Mohammad Ilham (60kg/Lelaki Bawah 20 Tahun).
Sementara itu, pingat perak dimenangi oleh Mavin Damien Lawrance Anak Larry Gerinang (30kg/Lelaki Bawah 10 Tahun), Alexzander Anji Anak Kennedy (32kg/Lelaki Bawah 17 Tahun), Randy Ngumbang Anak Franklin (42kg/Lelaki Bawah 17 Tahun), Nelvin Julian Anak Merlyn (44kg/Lelaki Bawah 17 Tahun), Aaron Alexison Anak Riki (67.5kg/Lelaki Bawah 17 Tahun) dan James Ngalai Anak Gerald (60kg/Lelaki Bawah 17 Tahun).
Dua lagi pingat gangsa disumbangkan oleh Morrison Janggi Anak Mackmilien (46kg Lelaki) dan Mohammad Naieem Daston (45kg Lelaki).
Keceriaan berganda buat pasukan tersebut apabila Alexzander Madang Anak Juti turut dipilih sebagai penerima Anugerah Petinju Berbakat Bawah 19 Tahun.
“Pencapaian yang ditunjukkan oleh para petinju terlibat pada karnival tersebut amat memberangsangkan.
“Kejayaan membawa pulang pingat kali ini merupakan petanda positif bagi mereka untuk terus bersiap siaga menghadapi kejohanan lain selepas ini,” ujar Melvin kepada Arena Suara Sarawak.
Karnival tersebut berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 April lalu bertempat di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, Sibu.



