MUKAH: Suasana menyambut perayaan Krismas di sini semakin dirasai apabila Program Karoling Kawasan Bandar, Judan, Kampung Bedanga Ulu dan Pengkalan Feri Lama yang dianjurkan Mukah Catholic Youth Apostolate (MCYA) berlangsung meriah sejak 30 November lalu.
Program yang dijadualkan sehingga 4 Disember 2025 itu berlangsung setiap hari dari 6.30 petang hingga 10 malam.
Sebanyak tiga kumpulan yang menyertai iaitu St. Gabriel, St. Gregory dan St. Augustine.
Pasukan karoling tersebut terdiri daripada kanak-kanak dan golongan belia yang mewakili Gereja Sts. Peter & Paul, Mukah.
Program berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengerusi 2 MCYA, Corina Raymund, yang turut menyelaras keseluruhan pergerakan kumpulan sepanjang program berlangsung.
Sehubungan itu, lebih 100 buah rumah serta beberapa premis perniagaan di sekitar bandar Mukah dikunjungi bagi menyemarakkan suasana Adven dan membawa mesej kegembiraan menjelang sambutan Krismas.
Seperti kebiasaan, aktiviti karoling diadakan saban tahun sebaik sahaja bermulanya musim Adven dalam kalendar liturgi Gereja Katolik.
Tradisi ini bertujuan menyampaikan khabar gembira mengenai kelahiran Yesus Kristus yang akan diraikan pada 25 Disember nanti.
Selepas selesai sesi karoling di kawasan bandar, program akan diteruskan oleh wakil-wakil setiap chapel di kampung masing-masing bagi memastikan semangat Krismas dapat dikongsi bersama seluruh komuniti, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Program tahunan ini bukan sahaja menghidupkan budaya masyarakat setempat, malah mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan belia dan keluarga yang terlibat, seiring dengan roh perayaan Krismas yang membawa pesan keamanan dan harapan.



