SETIAP penulis harus memiliki jiwa yang besar kerana kesusasteraan menuntut para pengarang menjadikan wadah itu bermakna serta mendatangkan kebijaksanaan kepada para pembacanya.
Pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) (Malaysia) bagi 2024, Roslan Jomel berkata, penulis harus terus menulis dan belajar untuk menghasilkan karya yang benar-benar bermakna kepada pembaca.
Katanya, sekiranya belum mampu mengungkapkan tema besar, mulakan dengan menulis tema yang sederhana. “Sastera bukan tempat untuk berlumba.
Lihat bagaimana berhasilnya Ernest Hemingway dalam novel The Old Man and the Sea.
“Subjek yang kecil dan membosankan boleh menjadi besar dan bermakna jika ditulis dengan mendalam.
Ia memerlukan kejernihan fikiran dan kehalusan pemerhatian,” katanya kepada Suara Sarawak. Meskipun hadiah dan anugerah menjadi matlamat sesetengah penulis, namun Roslan menegaskan bahawa hal itu bukan fokus dirinya
. Baginya, anugerah ini umpama galakan kepada karyawan Sarawak untuk terus menghasilkan karya penulisan bagi menyumbang kepada khazanah kesusasteraan Malaysia, Asia Tenggara dan dunia.
“Tanpa anugerah ini pun, saya akan terus menulis kerana kesusasteraan wujud sebelum masyarakat mencipta anugerah, hadiah dan pelbagai bentuk pengiktirafan.
“Jorge Luis Borges dan Franz Kafka tidak menerima Hadiah Nobel, namun karya penulisan mereka melangkaui cakerawala sastera,” katanya apabila ditanya tentang perasaannya diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut baru-baru ini.
Beliau amat menekankan kematangan dalam karya yang melibatkan mentaliti dan keupayaan intelektual dengan mengulang kata-kata penyair Rosli K. Matari: “Jangan mencampak longgokan sampah ke dalam ranah kesusasteraan.”
Berkongsi inspirasi dalam penulisan, beliau berkata beberapa pengarang tempatan dan luar negara selama ini menjadi sumber inspirasinya dalam proses berkarya, sekali gus mematangkan beliau dari segi teknik penulisan dan mentaliti.
“Pengaruh dalam kerja seni adalah perkara yang normal.
Namun, akan tiba waktunya setiap pengarang memiliki suara dan karakternya yang asli.
“Itulah keperibadian yang meletakkan kedudukan khas bagi seseorang pengarang dalam ranah kesusasteraan,” katanya.
Menurut Roslan, terdapat pelbagai kaedah untuk mengekspresikan kesenian.
Teknik penulisan realisme, misalnya, sering dilihat mudah, namun sebenarnya tidak begitu.
“Ada karya berunsur realisme yang belum mampu menggugah pemikiran.
Karya hebat tidak semestinya bersifat eksperimental atau bertentangan dengan konvensional penulisan.
“Naratif ialah kata kuncinya.
Tidak semua pengarang menguasai seni bercerita dengan baik.
“Ia mengambil masa untuk seseorang karyawan benarbenar berhasil menulis dengan baik.
Realisme magis, surealisme atau pendekatan kontemporari hanyalah aksesori.
“Yang utama ialah seni penyampaian isi penulisan dan suara asli pengarang,” ujarnya.
Roslan berkata, sebahagian pengarang ingin menulis mengikut gaya pengarang hebat tertentu hanya kerana ingin dilihat sehebat tokoh yang mereka ikuti, namun kebiasaannya gagal.
Bercakap tentang cabaran menulis, beliau berkata cabaran itu tidak spesifik.
Jika berhadapan dengan gangguan, beliau akan menonton filem atau siri televisyen, berkeliaran di bandar raya, mengunjungi kedai buku, menghadiri diskusi seni atau melakukan riadah agar tubuh sentiasa cergas.
“Idea dan inspirasi tidak semestinya muncul daripada halaman buku. Kebanyakan karya lahir daripada insiden di sekeliling dan apabila muncul idea yang menarik,” katanya.
Beliau mencatatkan idea tersebut pada skrin telefon pintar sebelum menyuntingnya di komputer riba.
“Paling utama, jangan mendesak editor untuk menyiarkan setiap karya yang dikirim. Itu merupakan sikap yang tidak profesional,” katanya.
Mengenai dunia kesusasteraan Sarawak, beliau menekankan bahawa negeri ini memiliki pengarang yang prolifik, sama ada yang berpengalaman mahupun daripada generasi baharu.
“Nama-nama mereka sudah cukup terkenal di peringkat negeri dan kebangsaan.
Peluang untuk penulis Sarawak sentiasa terbuka luas.
“Paling menarik, sebahagian pengarang generasi baharu datang daripada latar belakang profesional, menjadikan mereka mampu memanfaatkan ilmu dan kepakaran dalam naskhah,” katanya.
Beliau mengingatkan pengarang agar tidak menulis karya yang sudah dihasilkan oleh pengarang lain, sebaliknya memperlihatkan pembaharuan tema dan subjek dalam penulisan masing-masing.
“Menulis ialah kerja seni; lakukanlah dengan penuh etika dan terus belajar.
Jangan mudah berasa diri hebat apabila karya diterbitkan,” ujarnya. Mengenai rutin berkarya, Roslan menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai jadual tetap.
“Saya menulis bila-bila masa, di mana-mana sahaja — di kafe atau di stesen monorel.
“Saya menulis pada skrin telefon pintar, kemudian memindah dan menyuntingnya di komputer riba
. Tidak semestinya sesebuah tulisan perlu disiapkan pada hari yang sama,” katanya.
Beliau berkongsi harapan agar setiap karya pengarang dapat diterjemahkan dan dikongsikan kepada peminat kesusasteraan di peringkat serantau.
“Negara-negara Asia Tenggara sepatutnya memiliki majalah berkala yang menghimpunkan karya di bawah satu bahasa perantaraan seperti bahasa Melayu atau secara dwibahasa dengan bahasa Inggeris.
“Yang penting ialah keseriusan memartabatkan kesusasteraan, bukan kemasyhuran peribadi,” tambah Roslan.

