Ada manusia yang apabila pergi, kehilangannya terasa begitu dekat walaupun kita tidak pernah benar-benar mengenalinya secara peribadi.
Begitulah pemergian Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Rakyat Malaysia bukan sekadar kehilangan seorang tokoh wanita, doktor dan pendamping seorang negarawan, malah turut kehilangan susuk yang selama puluhan tahun dikenali dengan kelembutan tutur kata, sifat penyayang dan jiwa keibuan yang begitu kuat.
Beliau dikenali sebagai seorang yang mesra dan mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan orang di sekeliling berasa selesa. Tidak perlu meninggikan suara untuk mendapatkan perhatian. Tidak perlu kata-kata yang panjang untuk menunjukkan keprihatinan.
Kadangkala, cukup dengan senyuman, sapaan lembut atau sentuhan kecil pada tangan seseorang untuk membuatkan insan itu berasa dihargai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menggambarkan Almarhumah sebagai insan yang lembut tutur kata, penuh kasih sayang dan mempunyai sifat keibuan yang dekat di hati masyarakat.
Mungkin kerana itu, kehilangan beliau terasa berbeza. Ada kelembutan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada wajah Malaysia selama beberapa dekad.
Di sebalik kedudukannya sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Almarhumah tidak pernah sekadar dikenang kerana gelaran yang disandang.
Beliau mempunyai khasiahnya sendiri. Sebagai doktor, beliau meninggalkan sumbangan besar dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak.
Beliau juga turut terlibat dalam kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan usaha menangani penyalahgunaan dadah. Namun, di mata rakyat, sisi kemanusiaannya sering menjadi perkara yang paling mudah diingati. Termasuk coklat.
Kecil nilainya, tetapi besar maknanya.
Almarhumah pernah berkongsi coklat dengan petugas media yang menunggu di luar Pejabat Perdana Menteri.
Pada 2020, beliau turut menurunkan tingkap kenderaan dan menghulurkan coklat kepada sekumpulan pengamal media yang sedang menunggu.
Bayangkan seorang tokoh besar negara masih memikirkan orang lain yang mungkin sedang menunggu, keletihan dan kelaparan. Itulah bentuk kasih sayang yang tidak memerlukan protokol.
Coklat itu mungkin habis dimakan. Namun, kenangan tentang tangan yang menghulurkannya boleh kekal bertahun-tahun.
Begitu juga dengan kebiasaan Almarhumah membawa mainan kecil untuk kanak-kanak. Ada sesuatu yang sangat sederhana tetapi menyentuh hati dalam kebiasaan itu.
Beliau seakan-akan mahu memastikan kanak-kanak yang ditemuinya tidak berasa asing. Barangkali itulah naluri seorang ibu. Sifat keibuan itu bukan hanya dirasai oleh keluarga, tetapi juga dirasai oleh orang lain.
Atlet, selebriti, petugas media dan pelbagai lapisan masyarakat yang pernah berinteraksi dengannya sering mengenang kelembutan dan keprihatinannya.
Sebab itu, apabila beliau pergi, yang dirasai bukan hanya kehilangan sebuah nama besar. Sebaliknya, rakyat seakan-akan kehilangan seorang “ibu” yang selama ini hadir dalam kehidupan awam negara dengan cara yang begitu sederhana.
Namun, kisah Almarhumah tidak lengkap jika hanya dilihat melalui sisi kemanusiaannya. Di sebalik wanita yang lembut itu, tersimpan sebuah kisah cinta yang panjang dan luar biasa.
Kisah itu bermula ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah sama-sama menuntut dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Pada 23 April 1949, selepas menonton wayang dan berjalan pulang menuju ke asrama di Holne Chase, tiga perkataan ringkas dilafazkan. “I love you.”
Tiga perkataan itu menjadi permulaan kepada hubungan yang akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin pada 4 Ogos 1956 sebelum mereka menjalani kehidupan bersama selama tujuh dekad. Kisah tersebut turut direkodkan dalam buku Siti Hasmah: Citra Wanita Dua Zaman.
Tujuh puluh tahun bukan tempoh yang pendek. Ia bermakna berkongsi zaman muda, membesarkan anak-anak, menghadapi perubahan kehidupan serta melalui turun naik kerjaya, politik dan usia tua.
Apabila Tun Dr. Mahathir semakin dikenal sebagai negarawan, Almarhumah tetap berada di sisinya. Tidak semestinya di hadapan. Namun, sentiasa ada.
Ungkapan “di mana ada Dr. Mahathir, di situ ada Dr. Siti Hasmah” akhirnya menjadi gambaran hubungan mereka yang begitu rapat.
Pada 2021, Tun Dr. Mahathir pernah menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai Tun Dr. Siti Hasmah di sisi melalui susah dan senang. Kata-kata itu kini terasa jauh lebih mendalam.
Pada 28 September 2026, buat pertama kalinya selepas hampir lapan dekad sejak mereka bertemu, Tun Dr. Mahathir terpaksa meneruskan kehidupan tanpa teman yang sekian lama berada di sisinya.
Almarhumah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya, pada hari yang sama.
Pada hari pengebumian Almarhumah di Pusara Negara, kesedihan jelas menyelubungi keluarga yang mengiringi pemergiannya.
Mungkin ketika itu, tiada lagi politik. Tiada lagi jawatan. Tiada lagi gelaran. Yang tinggal hanyalah seorang suami yang kehilangan wanita yang dicintainya.
Dan seorang wanita yang pergi selepas memberikan sebahagian besar hidupnya kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Cinta mereka bermula dengan tiga perkataan. “I love you.” Namun, tujuh dekad kemudian, cinta itu tidak perlu diterjemahkan dengan kata-kata.
Ia terpancar melalui kebersamaan. Melalui tangan yang pernah saling mengenggam. Melalui perjalanan hidup yang panjang. Melalui kesetiaan untuk terus berada di sisi ketika dunia berubah.
Kini, apabila Tun Dr. Siti Hasmah sudah tiada, rakyat mungkin akan lebih menghargai perkara-perkara kecil yang pernah beliau lakukan.
Senyuman, sapaan, kelembutan suara, coklat yang dihulurkan, mainan kecil untuk kanak-kanak dan sentuhan seorang wanita yang membuatkan orang lain berasa disayangi.
Pada akhirnya, kita belajar bahawa seseorang tidak semestinya dikenang kerana sebesar mana kedudukannya. Kadangkala, seseorang paling lama hidup dalam ingatan kerana cara dia membuatkan orang lain berasa.
Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah membuatkan ramai orang berasa dihargai. Mungkin itulah warisan paling indah yang ditinggalkannya.
Apabila kelembutan itu pergi, yang tinggal bukanlah kesunyian semata-mata. Yang tinggal adalah kenangan dan cinta yang tidak pernah benar-benar pergi.



