ARTIKEL

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menjawab soalan pemberita selepas hadir pada rakaman temu bual podcast 'Kasih Lensa Keluarga' terbitan Bernama TV dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Kasih sayang keluarga kunci tangani gejala sosial remaja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap disiplin, pemantauan dan komunikasi ibu bapa merupakan benteng utama dalam membentuk keperibadian serta nilai sosial anak-anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memperkukuh nilai kekeluargaan melalui komunikasi dua hala bersama anak-anak, selain mengamalkan pendekatan mendisiplinkan yang seimbang serta penuh kasih sayang.

Nancy menjelaskan, ibu bapa juga perlu sentiasa mendekati anak-anak kerana kasih sayang dan perhatian dalam rumah tangga dapat mengurangkan kecenderungan remaja mencari perhatian di luar.

“Semuanya bermula di rumah. Jika ibu bapa sendiri tidak membimbing anak-anak, maka di situlah akar masalahnya.

“Anak-anak kini terdedah kepada pelbagai gajet. Kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bimbingan kerana jika dibiarkan, inilah yang menimbulkan masalah di sekolah-sekolah hari ini,” katanya kepada Bernama.

Nancy berkata demikian selepas menghadiri sesi rakaman podcast bersama Bernama TV di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata, pendedahan kanak-kanak dan remaja tanpa kawalan terhadap pelbagai bahan dalam talian menyebabkan sebahagian mereka menganggap perbuatan tidak bermoral sebagai perkara normal.

Pada masa sama, Nancy menjelaskan bahawa kementerian telah menubuhkan Pusat Remaja KafeTEEN yang berperanan sebagai tempat selamat untuk pelajar selepas waktu sekolah bagi mengikuti aktiviti berfaedah seperti debat, program pembangunan diri dan keusahawanan.

Menurutnya, KafeTEEN juga berfungsi sebagai platform membantu remaja menempuhi alam mereka dengan lebih yakin dan selesa melalui bimbingan serta pendidikan.

“Kadangkala pelajar pulang dari sekolah dan tiada siapa di rumah. Di KafeTEEN mereka boleh belajar berdebat, mengenali tubuh manusia, malah ada yang dilatih menjadi pemimpin dalam bidang ekonomi,” katanya.

Selain itu, Nancy berkata, kementerian turut menawarkan perkhidmatan kaunseling luar sekolah kepada mana-mana remaja atau pelajar yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebagai langkah pemulihan.

Beliau berkata, perkhidmatan itu menyediakan ruang selamat kepada remaja untuk bersuara tanpa bimbang terhadap stigma masyarakat.

“Kami pernah menemui pelajar berusia 13 tahun yang mengaku sudah beberapa kali terlanjur dalam hubungan seksual. Jadi, kami bantu mereka melalui sesi kaunseling yang terbuka dan selamat untuk mereka bersuara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy memaklumkan bahawa penganjuran Bulan Keluarga Kebangsaan pada November ini akan menekankan kepentingan penglibatan aktif ibu bapa dalam membina hubungan mesra dengan anak-anak.

Beliau berkata, acara utama akan diadakan di Putrajaya pada 8 dan 9 November dengan pelbagai pengisian serta aktiviti interaktif bagi mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, selain menjadi platform ilmu memperkukuh institusi kekeluargaan.

Nancy berharap sambutan kali ini dapat menjadi wadah memperkukuh institusi keluarga yang sihat dan harmoni, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan generasi berakhlak serta berdaya tahan menghadapi cabaran sosial semasa.

“Saya menyeru ibu bapa untuk membawa seisi keluarga, khususnya anak-anak, menyertai pelbagai program yang disediakan pada sambutan kali ini,” katanya.— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU