KUCHING: Pandu kereta mewah seperti Ferrari, Aston Martin, Bentley dan Lamborghini tetapi enggan membayar duti import.
Itu taktik golongan berada di Sarawak, kebanyakannya di Kuching dan Kota Samarahan, dedah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abdul Hamid.
Menyedari modus operandi sindiket ini katanya, Kastam Sarawak telah melancarkan operasi yang kemudian berjaya mengesan hingga membawa kepada rampasan 18 kenderaan mewah baru-baru ini.
“Kereta-kereta mewah itu dibeli dari Brunei, dengan kos sekitar RM4.7 juta dan membabitkan duti RM8.15 juta.
“Rampasan ini kita buat dalam operasi khas bermula 9 hingga 12 Julai lalu,” katanya dalam sidang media berhubung kejayaan operasi itu di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, di sini semalam. Turut hadir Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.
Menurut Azimah, mengikut Butiran 13, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing ataupun warganegara Malaysia berstatus penduduk tetap (PR), atau memiliki permit kerja sah di negara asing dengan syarat kenderaan tersebut hanya dibenarkan berada di negara ini selama tiga bulan.
Bagaimanapun katanya, kenderaan-kenderaan terbabit telah berada di negeri ini melebihi tempoh dibenarkan.
“Kesemua pemilik kenderaan berkenaan telah ditahan dan mereka dikenakan jaminan RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Kesemua pemilik kenderaan mewah itu katanya lagi, adalah warganegara Malaysia, namun beliau enggan mengiyakan sama ada kalangan kenamaan.
Kes katanya, kini disiasat di bawah Seksyen 133 (1) dan Seksyen 133 (1)(g) Akta Kastam 1967 kerana tidak mematuhi kelayakan ditetapkan pada Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Siasatan juga dilakukan untuk mengenal pasti penggunaan pas kenderaan disyaki palsu dan beberapa pelanggaran kepada peruntukan Akta Kastam 1967.