ARTIKEL

KASUMes eratkan komuiti media

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAGI pengamal media, tugasan bukan sekadar kerja biasa-biasa.

Di sebalik berita yang tersiar setiap hari, ada komitmen luar biasa yang tidak mengenal masa, cuaca mahupun lokasi.

Namun, di sebalik kesibukan itu, Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMes) 2025 menjadi ruang rehat yang amat bermakna, kerana satu hari diperuntukkan untuk berhenti sebentar, bergelak ketawa dan mengeratkan silaturahim sesama rakan media.

KASUMes merupakan satu inisiatif anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang menghimpunkan lebih 70 pengamal media daripada pelbagai agensi di sekitar Kuching dalam satu acara sukan santai.

Tahun ini, acara boling dipilih sebagai aktiviti utama dan berlangsung dengan meriah di Megalanes Sarawak.

Sebagai penulis yang baru menempuh 10 bulan dalam dunia kewartawanan, pengalaman ini bukan sahaja menyeronokkan, malah menyedarkan penulis bahawa di sebalik tekanan kerja dan desakan tarikh akhir, wartawan juga memerlukan ruang untuk ‘bernafas’.

Jika ingin mengimbas kembali, memori yang paling mencuit hati adalah ketika melihat ramai pengamal media yang biasanya serius ketika membuat liputan, tampil berbeza di gelanggang.

Ada yang tampil dengan bola boling sendiri, lengkap dengan sarung tangan dan gaya profesional.

Tidak kurang juga yang hadir sekadar untuk berseronok, terutamanya apabila bola masuk longkang pun tetap disambut dengan gelak ketawa.

Menariknya, pasukan dibentuk secara rawak, membolehkan kami semua berinteraksi dengan rakan media daripada agensi lain yang sebelum ini hanya dikenali melalui nama atau ketika berselisih semasa tugasan.

Hubungan yang terjalin ini secara tidak langsung memupuk jaringan kerjasama yang lebih erat dalam industri.

Bahkan, saya tidak sangka, rakan sekerja yang biasanya pendiam di pejabat sebenarnya sangat hebat bermain boling.

Setiap lontaran menghasilkan jatuhan semua pin! Bahkan, ada juga yang mempunyai gaya masing-masing ketika bermain, seperti gaya ninja, ada yang bersahaja tetapi tetap berjaya menjatuhkan pin.

Bak kata mereka, “Yang penting, gaya kena ada,” kerana tiada betul atau salah apabila bermain boling bersama-sama rakan.

Walaupun acara ini hanya berlangsung selama beberapa jam, namun ia memberikan impak yang besar kepada saya dan juga para pengamal media yang lain.

Ia bukan sahaja memberi ruang untuk bersantai, tetapi juga menyegarkan kembali semangat yang mungkin telah luntur akibat tekanan kerja harian. Ini kerana kita sering sibuk menyiarkan cerita orang lain hingga terlupa untuk mengambil masa menikmati cerita sendiri.

Melalui KASUMes, kita bukan sahaja dapat bergembira, tetapi juga kembali merasai erti kebersamaan dalam komuniti media, terutama bagi saya yang pertama kali menyertai karnival media seperti ini.

Acara ini juga menjadi bukti  bahawa menghargai warga media tidak semestinya melalui pengiktirafan formal sematamata.

Kadangkala, peluang untuk ketawa bersama dan menghabiskan masa di luar konteks kerja sudah cukup untuk menyuntik semula semangat serta motivasi dalam diri setiap wartawan.

Oleh itu, jika ada kesempatan pada masa akan datang, saya pasti turut serta lagi, mungkin dengan menyertai acara sukan yang lain.

Melihat kejayaan penganjuran kali ini, saya berharap agar KASUMes diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih pelbagai.

KASUMes membuktikan bahawa di sebalik lensa kamera, mikrofon dan papan kekunci, para wartawan juga manusia biasa yang tahu bekerja keras, tetapi juga tahu menikmati hidup.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap

Standard teknikal nyamin pemujur servis

CYBERJAYA: Komiti Besai Komunikasyen enggau Multimedia Malaysia (MCMC) negap pemansang standard teknikal nentuka servis begunа baka komunikasyen, bekal kuasa karan enggau ai ulih beoperasyen likun,