ARTIKEL

Kaul lambang warisan Melanau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Mukah sekali lagi bersiap sedia menyambut Pesta Kaul, satu perayaan tradisi masyarakat Melanau yang sarat dengan nilai sejarah, budaya dan kepercayaan turun-temurun.

Kaul yang merupakan acara ikonik masyarakat Melanau ini bakal diadakan bermula 27 April hingga 3 Mei nanti.

Sementara itu, Kaul Serahang Kakan akan diadakan pada 25 April depan, sebelum Pesta Kaul berlangsung.

Setiap kali Kaul berlangsung, kawasan pesisir Mukah akan kembali meriah dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah yang ingin menyaksikan keunikan sambutan ini.

Kaul bukan sekadar pesta rakyat, sebaliknya menjadi lambang jati diri serta kesinambungan warisan budaya masyarakat Melanau.

Dari sudut sejarah, Kaul dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat Melanau terhadap semangat penjaga alam dan kesejahteraan kehidupan seharian.

Pada asalnya, upacara ini diadakan sebagai tanda kesyukuran atas hasil rezeki yang diperoleh, di samping memohon perlindungan daripada sebarang bencana atau penyakit.

Walaupun zaman telah berubah, semangat dan makna di sebalik sambutan Kaul masih kekal dan terus dipelihara oleh generasi hari ini.

Pada masa sama, turut diadakan gerai komuniti yang mempamerkan pelbagai budaya masyarakat di Bahagian Mukah, ibarat nadi bagi Pesta Kaul Mukah.

Kebanyakan penyertaan gerai komuniti adalah daripada masyarakat Melanau, seiring dengan Pesta Kaul yang dirai oleh mereka.

Namun, tidak dinafikan terdapat juga gerai komuniti masyarakat lain seperti Dayak, Cina dan sebagainya.

Masing-masing mempamerkan budaya mereka dari segi pakaian, makanan dan lain-lain semasa Pesta Kaul diadakan.

Sehubungan itu, generasi muda perlu memainkan peranan dalam memastikan Kaul sentiasa meriah.

Menurut Nur Mazlin Mazlan, generasi muda perlu sedar dan faham makna Kaul.

“Bukan sekadar datang ke tapak pesta, tetapi belajar untuk memahami makna Kaul.

“Bukan itu sahaja, kita (generasi muda) perlu terlibat aktif, terutamanya sebagai sukarelawan atau menguar-uarkan penganjurannya di media sosial.

“Memandangkan generasi muda kebanyakannya celik digital dan kreatif dalam menghasilkan kandungan di media sosial, perkara ini perlu dimanfaatkan bagi menyambut Kaul pada kali ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, katanya, sekiranya berada di perantauan, generasi muda perlu memperkenalkan acara ikonik Melanau ini kepada rakan-rakan lain.

Jelasnya, perkara ini boleh dilakukan dengan menunjukkan video dan gambar mengenai Kaul.

“Saya percaya ramai antara mereka teruja dan mempunyai rasa ingin tahu.

“Dengan cara ini, kita dapat menarik mereka untuk mengunjungi Mukah bagi memeriahkan Pesta Kaul,” katanya lagi.

Sehubungan itu, elemen Kaul juga perlu dikekalkan seperti Tibou, Serahang dan persembahan tradisional.

Ujarnya, ini bagi memastikan Kaul sentiasa relevan serta kaya dengan adat dan budaya.

Mazlin turut berharap agar penganjuran Kaul Mukah pada tahun ini lebih bersifat inklusif, melibatkan belia serta menjelaskan dengan lebih lanjut makna Kaul kepada generasi muda dan pelancong.

Tambahnya, keseimbangan antara tradisi dengan moden dalam Kaul perlu agar berpaksikan akar budaya, bukan komersial semata-mata.

Sementara itu, Lyona Stephen memberitahu generasi muda merupakan pewaris utama dalam memastikan Kaul terus relevan dan terpelihara.

“Mereka (generasi muda) perlu terlibat secara aktif dalam penganjuran dan penyertaan acara Kaul, terutamanya Kaul Kakan kerana ia merupakan Kaul tradisi yang sangat penting.

“Pada masa yang sama, kita perlu mempelajari sejarah, adat serta makna di sebalik ritual Kaul.

Elemen moden boleh digabungkan, tetapi tidak boleh menghilangkan nilai tradisi asal,” katanya.

Sebagai anak Melanau, Lyona mengakui Kaul membantu menguatkan rasa kebersamaan komuniti Melanau melalui perjumpaan dan aktiviti bersama-sama.

Dedahnya, Kaul mengingatkan tentang asal-usul dan warisan nenek moyang, selain menjadi platform pertemuan komuniti Melanau di luar kawasan untuk terus mengekalkan identiti budaya walaupun jauh dari kampung halaman.

Di samping itu, beliau turut memperkenalkan Kaul kepada rakan-rakannya dan kebanyakan mereka menunjukkan minat serta kagum dengan keunikan ritual dan adat masyarakat Melanau.

Lyona turut percaya Persatuan Melanau memainkan peranan penting dalam mengekalkan Kaul kerana ia tidak sepatutnya dianggap sekadar karnival moden.

Tegasnya, kita perlu sedar di sebalik pembangunan, elemen tradisi Melanau semakin berkurangan dalam kalangan generasi muda.

“Antara elemen penting yang perlu dipertahankan termasuk ritual dan adat asal Kaul, nilai hormat terhadap alam, semangat tradisi serta pelibatan komuniti setempat, termasuk generasi muda.

“Selain itu, makanan tradisional dan pakaian budaya, termasuk penerangan yang betul tentang pakaian Melanau asli kerana kini ramai yang tidak tahu perbezaan antara yang asli dan kontemporari,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap agar elemen pembuatan barangan kraf tangan Melanau yang semakin pupus dapat diperbanyakkan semasa Kaul.

Ini termasuk pameran, demonstrasi pembuatan serta bengkel kraf tangan tradisional supaya generasi muda dan pengunjung luar dapat memahami nilai seni warisan Melanau.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan