Kaum lain turut berminat pelajari kaligrafi Cina

KUALA LUMPUR: Sejak kecil lagi wanita ini begitu tertarik dengan seni kaligrafi Cina terutama apabila melihat rakan-rakan daripada kaum itu mempamerkan kebolehan berkenaan ketika acara-acara tertentu termasuk menjelang Tahun Baharu Cina.

Keunikan setiap calitan karakter di atas kertas merah menggunakan berus dan dakwat hitam yang membawa maksud positif, menguatkan lagi azam Shoba Veera, 54, untuk mempelajari seni itu.
“Sejak kecil lagi saya sangat tertarik melihat seni kaligrafi yang ditampal di dinding dan telah lama berniat mahu mengambil kelas untuk mempelajarinya namun sering kali tidak berpeluang.

“Belajar seni kaligrafi bukan sahaja dapat mengenali budaya dan warisan masyarakat Cina, malah dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama pada Sabtu.
Shobah, yang merupakan seorang peguam adalah antara empat peserta bukan Cina yang mengikuti Bengkel Seni Kaligrafi Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Bagi Noor Laila Othman, 58, galakan daripada suaminya yang berbangsa Cina mendorong beliau mempelajari seni itu yang mempunyai persamaan dengan seni khat.

“Saya sering melihat suami saya berlatih menulis kaligrafi itu dan pada masa yang sama saya juga meminati seni khat. Secara umumnya kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi peralatan dan cara penulisannya, cuma seni khat kami menggunakan buluh manakala kaligrafi Cina dengan berus.

“Penulisan kaligrafi dapat menguji kesabaran dan menenangkan minda,” kata pengarah urusan sebuah syarikat swasta itu.

Sementara itu, guru kaligrafi yang mengendalikan bengkel itu, Soo Yoke Lan, 68, berkata seseorang tidak semestinya fasih menulis dan membaca karakter tulisan Cina bagi mempelajari seni kaligrafi berkenaan.

“Ramai juga yang mula berminat untuk mempelajari bahasa Cina selepas mengambil kelas kaligrafi dengan saya, ini secara langsung menggalakkan mereka menguasai lebih banyak bahasa selain mengenali budaya kami dengan lebih dekat,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak