ARTIKEL

ROSEY ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Kursus Keibubapaan Digital di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Kawal had penggunaan gajet sejak awal usia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cabaran mengawal penggunaan gajet dalam kalangan ahli keluarga semakin meruncing apabila masa bersama di rumah banyak dirampas peranti digital, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.

Situasi itu memberi kesan langsung kepada hubungan kekeluargaan apabila interaksi bersemuka semakin berkurangan, terutama dalam era teknologi yang berkembang pesat.

“Kanak-kanak banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit dan bukan hanya kanak-kanak, ibu bapa juga berdepan isu yang sama.

“Dari segi masa, kita sedang bersaing dengan gajet dan peranti digital dan ini mengurangkan masa yang diluangkan bersama keluarga,” katanya ketika mengulas isu penggunaan gajet kini bukan hanya melibatkan kanak-kanak, malah turut membabitkan ibu bapa.

Tambah beliau, dalam dunia tanpa sempadan, keluarga berhadapan cabaran mengimbangi penggunaan teknologi dengan keperluan interaksi kekeluargaan yang sihat.

“Walaupun perkembangan teknologi tidak boleh dielakkan, penggunaannya perlu dikawal dan diurus dengan bijak.

“Kita tidak boleh menolak pembangunan atau teknologi, jika tidak kita akan ketinggalan. Tetapi pada masa yang sama, kita mesti memahami batasannya,”tegasnya.

Menjelas lanjut, antara amalan yang membimbangkan ialah kecenderungan ibu bapa memberikan gajet kepada anak-anak sebagai cara untuk mengisi masa atau menenangkan mereka, tanpa pemantauan yang sewajarnya.

“Ibu bapa perlu melihat berapa lama masa digunakan pada peranti dan juga jenis kandungan yang diakses.

“Jika tidak dikawal, kanak-kanak mungkin menjadi terlalu bergantung kepada gajet,”jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian telah melaksanakan pelbagai kursus keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran serta panduan praktikal kepada ibu bapa mengurus pendedahan digital di rumah.

“Antara pendekatan yang diketengahkan termasuklah menetapkan had masa penggunaan gajet, menyekat akses kepada laman sesawang tertentu dan penggunaan kawalan peranti seperti fungsi penguncian.

“Selain itu, disiplin digital perlu diterapkan sejak awal memandangkan kanak-kanak kini sudah terdedah kepada peranti pada usia yang sangat muda.

“Ini adalah antara cabaran utama yang dihadapi keluarga hari ini. Melalui kursus ini, kita berkongsi pengalaman dan pengajaran sebenar supaya ibu bapa lebih peka dan bersedia,”tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu keselamatan dalam talian seperti penipuan siber turut diberi penekanan dalam program tersebut dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi meningkatkan kewaspadaan ibu bapa.

“Justeru, saya berharap usaha berterusan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dapat membantu ibu bapa lebih proaktif dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai