JULAU: Parlimen Julau memerlukan kawasan perindustrian dan kilang sendiri bagi membolehkan usahawan tempatan menikmati pelbagai insentif kerajaan, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, berkata keperluan itu perlu diberi perhatian serius memandangkan ketika ini Julau masih belum mempunyai kawasan perindustrian yang dapat menyokong pembangunan perusahaan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Biro Wanita dan Ngiling Tikai di Rumah Baki, Keluton Entabai, pada Ahad.
Menurutnya, pemilik tanah berhampiran jalan raya yang berminat boleh memohon tapak bagi membina kilang dan cadangan tersebut wajar dibincangkan sebagai langkah awal merealisasikan pembangunan sektor perindustrian di Julau.
Beliau berkata, pelbagai insentif kerajaan yang disediakan kepada usahawan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya operasi perniagaan tidak dijalankan melalui premis yang berstatus kilang.
Katanya, usahawan di Semenanjung Malaysia menikmati pelbagai insentif daripada SME Corp dan agensi berkaitan kerana mereka mempunyai kemudahan perindustrian serta lokasi yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak melihat pembangunan kawasan perindustrian sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Julau, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan penghijrahan belia ke luar kawasan untuk mencari rezeki.
Beliau turut menjelaskan bahawa kewujudan kilang akan membolehkan produk berasaskan sumber tempatan diproses serta dipasarkan dengan lebih meluas, termasuk ke Semenanjung Malaysia.
Sebagai contoh, katanya, produk makanan yang ingin dipasarkan ke Semenanjung perlu memperoleh sijil halal, manakala antara syarat utama pensijilan tersebut ialah operasi pengeluaran dijalankan di premis perindustrian atau kilang yang diluluskan.
Beliau menegaskan pembangunan kawasan perindustrian dan pembinaan kilang perlu menjadi antara agenda utama Julau bagi memperkukuh ekonomi tempatan serta meningkatkan daya saing usahawan di kawasan itu.






