ARTIKEL

PERTEMUAN PERTAMA KCFC-TAMPINES, REKOD SEMASA JADI UKURAN. Foto: Malaysia Football League

KCFC bertemu Tampines Rovers buat kali pertama malam ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC dan Tampines Rovers FC bakal bertemu buat kali pertama dalam aksi rasmi apabila kedua-dua pasukan membuka kempen Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, pada jam 9 malam ini.

Ketiadaan rekod pertemuan terdahulu menjadikan prestasi semasa kedua-dua pasukan sebagai antara ukuran utama menjelang aksi sulung berkenaan, dengan Kuching City hadir bersama momentum lebih meyakinkan berbanding wakil Singapura itu.

The Cats membuat penampilan sulung dalam Shopee Cup musim ini selepas menamatkan Liga Super Malaysia 2025-2026 sebagai naib juara, manakala Tampines Rovers merupakan antara kelab berpengalaman dari Singapura yang turut mempunyai rekod beraksi di pentas Asia.

Berdasarkan lima aksi kompetitif terakhir sebelum perlawanan malam ini, Kuching City merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Mereka menewaskan Sabah FC 2-0, Kelantan Red Warrior FC 5-1 dan Melaka FC 2-1, sebelum tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC dalam Liga Juara-Juara Asia Dua serta seri 0-0 dengan Kelantan City FC pada aksi pertama suku akhir Piala FA.

Selain itu, KCFC turut menewaskan Sabah FC 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Taha Ariffin baru-baru ini, satu keputusan yang meningkatkan keyakinan pasukan sebelum berdepan Tampines.

Tampines pula tidak hadir dengan rentak terbaik apabila melalui beberapa keputusan sukar kebelakangan ini, termasuk kekalahan 0-2 kepada Lion City Sailors dalam Piala Sumbangsih Singapura dan tewas 1-2 kepada Shanghai Shenhua dalam Liga Juara-Juara Asia Dua.

Namun, mereka turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Balestier Khalsa dalam aksi pembukaan Liga Perdana Singapura, sekali gus membuktikan pasukan itu tetap memiliki ancaman tersendiri.

Tampines dijangka bergantung kepada pengalaman pemain seperti Faris Ramli, Shah Shahiran dan Amirul Adli, selain kehadiran beberapa pemain Jepun yang memberi nilai tambah kepada corak permainan mereka.

The Cats pula mempunyai pilihan serangan menerusi Jerome Mpacko Etame, Ajdin Mujagic, Ramadhan Saifullah dan Safawi Rasid, selain Petrus Shitembi yang menjadi antara penggerak utama di bahagian tengah.

Pemain pertahanan KCFC, Rodney Celvin, sebelum ini menegaskan bahawa pasukannya tidak gentar berdepan kelab-kelab besar di rantau ini dan mahu membuktikan The Cats mampu memberi saingan di pentas ASEAN.

“Berdepan pasukan-pasukan besar, kita mahu membuktikan bahawa pasukan yang dianggap lebih kecil juga mampu bersaing di pentas ASEAN dan memberi tentangan sengit kepada kelab-kelab besar,” katanya.

Ketua jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak, pula mahu pemain memberi tumpuan kepada pelan permainan sendiri dan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

KCFC ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Tampines Rovers, juara bertahan Buriram United, Ratchaburi FC, Ho Chi Minh City Police FC, Borneo FC Samarinda dan Manila Digger FC.

Perlawanan malam ini merupakan aksi pembukaan Kumpulan A bagi kedua-dua pasukan, dengan KCFC memburu permulaan positif dalam penampilan sulung mereka di Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup.

Tiket perlawanan hanya dijual secara dalam talian.

Tiket boleh diperoleh menerusi pautan https://tickethotline.com.my/ev

BERITA LAIN

BERITA TERBARU