KUCHING: Kuching City FC (KCFC) tampil dengan jersi baharu bagi mengharungi musim 2026/2027 yang lebih mencabar, termasuk penampilan sulung di pentas ASEAN dan Asia.
Pelancaran kit rasmi disempurnakan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini, yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong.
Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sokongan padu penyokong menjadi suntikan semangat kepada pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang musim baharu.
Beliau berkata, KCFC berkembang daripada permulaan sederhana sehingga muncul antara pasukan terbaik di Malaysia hasil sokongan berterusan penyokong, rakan strategik dan penaja.
Sokongan penyokong melalui pembelian tiket, jersi dan barangan rasmi kelab turut menjadi sumber penting dalam usaha memperkukuh pasukan.
Fazzrudin berkata, musim 2026/2027 turut membawa cabaran baharu apabila KCFC bakal membuat penampilan pertama di peringkat ASEAN dan Asia.
Beliau berkata, KCFC bukan sahaja membawa nama bandar raya Kuching, malah imej Sarawak dan Malaysia apabila beraksi di pentas lebih tinggi.
KCFC bakal membuat penampilan sulung dalam AFC Champions League Two (ACL Two) selain bersaing dalam ASEAN Club Championship Shopee Cup susulan kejayaan menamatkan saingan Liga Super 2025/2026 di tempat kedua.



