KUCHING: Kuching City FC (KCFC) akan mengutamakan perkhidmatan AirBorneo bagi perjalanan skuadnya ke destinasi yang mempunyai laluan penerbangan syarikat penerbangan itu, termasuk bagi saingan di peringkat ASEAN.
Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerjasama strategik itu bukan sahaja memudahkan urusan perjalanan pasukan, malah memberi manfaat dari sudut promosi jenama.
Beliau berkata, KCFC turut berharap pembukaan laluan baharu AirBorneo ke Jakarta dapat dimanfaatkan pasukan sekiranya dijadualkan beraksi di Indonesia.
“Kita pernah mendengar pengumuman bahawa mereka akan membuka laluan ke Jakarta dan kita mengharapkan jika kita bermain di Indonesia, kita akan menggunakan laluan tersebut.
“Jadi, kita memberi keutamaan kepada AirBorneo dahulu,” katanya.
Menurut Fazzrudin, kerjasama itu turut membuka peluang kepada AirBorneo mempromosikan jenamanya di luar Malaysia menerusi penyertaan KCFC dalam saingan ASEAN dan Asia.
“Kehadiran KCFC di pentas antarabangsa memberi platform kepada AirBorneo untuk memperkenalkan jenamanya kepada khalayak lebih luas, khususnya di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.
Selain AirBorneo, Affin Bank turut menjalinkan kerjasama strategik bersama KCFC sebagai rakan perbankan rasmi kelab bagi menyokong pembangunan komuniti menerusi sukan, khususnya bola sepak.



