ARTIKEL

Abang Johari menerima cenderamata daripada Ronnie pada Majlis KJA di Hotel Pullman Kuching, malam tadi. GAMBAR: UKAS

KDJA Seru Latihan Berterusan Untuk Wartawan Hadapi Era AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaburan berterusan dalam latihan dan peningkatan kemahiran wartawan amat penting bagi memastikan kewartawanan kekal relevan dalam cabaran era perubahan teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo Teck Wei berkata, keperluan itu semakin mendesak berikutan tekanan ekonomi yang dihadapi industri media tradisional, bukan sahaja di peringkat global, malah di Sarawak.

“Pengiklanan kini mempelbagaikan saluran dan walaupun hasil digital menunjukkan pertumbuhan, ia masih belum mampu mengimbangi kemerosotan pendapatan media cetak dan penyiaran.

“Situasi ini sekali gus memberi tekanan kewangan kepada organisasi media serta menjejaskan sumber bagi kewartawanan berkualiti dan mendalam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.

Menurutnya, profesion kewartawanan juga kini semakin terancam akibat plagiat oleh halaman kandungan media sosial serta kewujudan individu yang menggelar diri mereka wartawan tanpa pematuhan etika, semakan fakta atau akauntabiliti.

“Keadaan ini mencemarkan ruang maklumat awam, menyukarkan berita sahih untuk sampai kepada masyarakat serta merendahkan nilai laporan berita yang dihasilkan secara profesional.

“Justeru, kita mesti memperjuangkan literasi media dan membezakan dengan jelas antara berita yang disahkan dan ‘kebisingan’ yang tidak disahkan,” tegasnya.

Ronnie menyampaikan ucapan. GAMBAR: UKAS

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa ramai wartawan, khususnya yang baru memulakan kerjaya, terus berdepan waktu kerja yang panjang untuk meliputi berita terkini dan acara penting, manakala ganjaran yang diterima tidak setimpal dengan tuntutan dan pengorbanan profesion tersebut.

Sehubungan itu, Ronnie menegaskan isu berkenaan perlu ditangani secara bersama oleh pemilik media, persatuan dan kerajaan bagi memastikan kelestarian bakat kewartawanan serta kualiti wacana awam di negeri ini.
“Pelaburan berterusan dalam latihan seperti Program Eksekutif Media oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat penting bagi mempersiapkan wartawan menghadapi perubahan teknologi pesat seperti AI dan landskap maklumat yang semakin kompleks,” jelasnya.

Justeru, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan kebajikan wartawan, termasuk pemberian insentif media RM700 kepada ahli persatuan media.

Dalam landskap kewartawanan yang semakin mencabar, katanya, KJA yang merupakan acara tahunan kekal sebagai tunjang penting dalam menyokong kualiti, integriti serta masa depan kewartawanan di Bumi Kenyalang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU