KOTA SAMARAHAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menunggu laporan rasmi sebelum tindakan undang-undang dapat dipertimbangkan susulan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa boleh menimbulkan keresahan di antara Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang tindakan hanya boleh diambil selepas laporan bagi tindakan undang-undang dilakukan.
“Kita menunggu laporan. Apabila ada pihak yang membuat laporan kita akan lihat di bawah akta dan seksyen. Selagi ia belum berlaku, kita tidak dapat memberi ulasan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Zaid mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai beban kepada Malaysia.
Menerusi “The Zaid Ibrahim Podcast”, beliau memberi pandangan sinis dan tajam tentang dilema Kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Ekoran itu, ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim dengan tegas menggesa agar Zaid dikenakan tindakan undang-undang sekali gus disekat daripada masuk ke Sarawak.
Hamzah turut menyeru pihak berkuasa supaya menggunakan undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan, khususnya Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sering disebut kerajaan pusat bagi memastikan akauntabiliti.
Sehubungan itu, Saifuddin memaklumkan rakyat wajar menilai sendiri kenyataan mana-mana individu yang cuba menimbulkan keresahan tersebut.
Beliau memberitahu, tidak ada sebab untuk meniup keresahan ketika kerajaan Madani sedang menumpukan usaha menunaikan perkara yang dipersetujui di bawah MA63.
“Rakyat boleh menilai pemimpin yang tidak menunjukkan kepentingan menjaga keamanan dengan mengawal percakapan dalam perkara yang tidak membawa kebaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan bahawa pendirian kerajaan berkaitan MA63 jelas dan diterjemahkan melalui pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof untuk mempengerusikan mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak berkaitan pelaksanaan perkara yang dipersetujui.



