KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) komited memastikan kebajikan guru khususnya mereka yang ditugaskan di sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak diberi keutamaan.
Presidennya, Zulkiflee Sebli yakin perkara itu masih menjadi cabaran utama dalam usaha memastikan sistem pendidikan di Sarawak mampu diperkasa secara menyeluruh.
“Pada 2026, KGBS akan terus memperkukuh peranan sebagai suara kesatuan yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab.
“Isu beban kerja guru, penempatan, kestabilan perkhidmatan, keseimbangan kerja dan kehidupan serta kebajikan guru khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak akan terus menjadi fokus utama perjuangan kesatuan.
“Cabaran geografi dan logistik di Sarawak memerlukan pendekatan dasar yang lebih anjal dan berfakta, bukan bersifat umum semata-mata,”katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, KGBS berharap agar kebajikan dan kesejahteraan guru terus dijadikan keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar pendidikan.
“Guru yang sejahtera dari segi emosi, mental dan fizikal menjadi prasyarat utama kepada kualiti pendidikan yang berkesan.
“KGBS menegaskan bahawa sebarang penambahbaikan sistem atau pengenalan inisiatif baharu perlu dilaksanakan secara berhemah, realistik dan tidak menambah beban tugas sedia ada guru,”katanya.
Tambahnya, KGBS akan kekal komited untuk menjadi rakan strategik kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Sarawak terutama dalam perkara memberi pandangan, cadangan serta maklum balas membina demi manfaat kepada guru dan murid.
Selain itu, KGBS juga akan memberi penekanan kepada usaha memperkasa pembangunan profesionalisme guru, melahirkan pemimpin kesatuan berintegriti, berwibawa, serta memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan ahli.
Tegas beliau, profesion guru hari ini bukan sahaja menuntut kepakaran pedagogi, malah ketahanan emosi, kebijaksanaan mengurus beban tugas serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dasar dan sistem yang semakin berkembang.


