MUKAH: Kebakaran melibatkan bahagian tempat memasak dan peralatan aluminium di tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat di sini berjaya dikawal pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 8.18 malam.

“Kebakaran berlaku di premis New Fong Seng Aluminium & Glass Works, bersebelahan Public Bank Mukah, dengan anggaran keluasan kawasan terbakar 20 kaki kali 60 kaki, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kawasan terlibat.
“Pasukan bomba bertindak memadam dan mengawal kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Operasi berjaya dikawal pada jam 8.27 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.15 malam.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi dan kembali ke balai.






