MUKAH: Sebuah rumah pekerja sementara 13 pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Tiong Hua, tengah malam tadi. Bagaimanapun, semua penghuni sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 12.06 tengah malam. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
Menurut TVS, rumah jenis tidak kekal berukuran kira-kira 60 x 40 kaki itu musnah sepenuhnya. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan sumber air daripada pam jentera.
Operasi berdepan kekangan kerana tiada sumber air berhampiran. Bekalan air terpaksa diisi semula dari pili bomba di kawasan perumahan berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada 12.44 tengah malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.50 pagi. Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Mukah bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).


