Kebersihan kawasan kampung adalah tanggungjawab bersama – Razaili Gapor

PUSA: Kawasan kampung atau jalan raya bukannya ‘tong sampah’ yang patut dijadikan tempat membuang sampah dengan sesuka hati.

Justeru, masyarakat digesa untuk mengutamakan aspek kebersihan yang disifatkan sebagai tanggungjawab bersama, kata Adun Beting Maro Razaili Gapor.

Menurutnya, pihak sekolah diharap dapat memainkan peranan untuk memberi kesedaran dalam kalangan anak-anak supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan.

“Saya rasa ini bukan perkara baharu, cuma saya mahu ia diperkasakan semula.

“Pihak sekolah diminta untuk menyusun program yang teratur berkaitan keceriaan dan kebersihan termasuk di kampung dalam kalangan anak-anak.

UNTUK ALBUM … Razaili dan isteri, Aisyah Rohani Nahar serta tetamu lain bergambar kenangan bersama warga sekolah pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Spinang yang berlangsung di Dewan Sri Bunian, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

“Terapkan mereka dengan nilai kebersihan supaya apabila mereka melihat sampah, mereka kutip… biar mereka jijik melihat sampah.

“Kita tidak mahu keindahan kampung dan jalan raya dijadikan tong sampah tempat membuang sampah dengan sesuka hati… saya harap pihak sekolah dapat bantu,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Spinang yang berlangsung di Dewan Sri Bunian SK Spinang, semalam.

Jelasnya, program kitar semula dan inisiatif mengolah barangan terpakai juga patut diperkasakan semula.

Beliau dalam pada itu bersedia membekalkan tong sampah di setiap lorong di Kampung Spinang selain sumbangan RM5,000 untuk pihak sekolah memperkasa program berunsur kebersihan di kampung.

SUMBANGAN HAJI … Razaili menyampaikan sumbangan kepada Zariman yang bakal mengerjakan haji pada majlis tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kampung Spinang dikenal pasti antara kawasan dalam Dun Beting Maro yang berpotensi untuk dibangunkan dengan pelancongan.

“Setakat ini sudah ada kajian tentang perkara tersebut oleh pihak UiTM Kampus Samarahan dan kertas cadangan juga difahamkam telah siap.

“Saya bersedia meneliti dan berbincang dengan mereka (UiTM). Inilah usaha yang dirangka untuk membangunkan Kampung Spinang sebagai kampung lestari, komuniti bestari.

“Saya menzahirkan rasa bangga atas komitmen penduduk di sini yang berusaha untuk menceriakan kampung dengan pelbagai kreativiti,” ujarnya.

Razaili turut menyumbang RM5,000 kepada JKKK untuk meneruskan kerja-kerja keceriaan dan pengindahan kampung.

Katanya, Kampung Spinang diharap mampu menjadi contoh kepada kampung-kampung lain khususnya dalam mengindahkan kawasan sekeliling.

Hadir sama Penghulu Kampung Semarang Sardon Sebli, Guru Besar SK Spinang Zariman Ali serta Yang Dipertua PIBG SK Spinang Drahman Drashid.