ARTIKEL

Kecemerlangan warga pendidikan Julau terus diberi pengiktirafan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Seramai 80 warga pendidikan daerah Julau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025, membuktikan cabaran geografi kawasan luar bandar bukan penghalang kepada kecemerlangan dalam perkhidmatan pendidikan.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata pengiktirafan itu mencerminkan dedikasi, pengorbanan, integriti dan usaha berterusan warga pendidikan sepanjang 2025.

Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan berlaku secara kebetulan atau hasil kerja dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil komitmen berterusan dalam melaksanakan amanah masing-masing.

“Syabas dan tahniah yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seramai 80 orang penerima APC pada hari ini.
“Kejayaan anda meraih anugerah ini bukanlah satu kebetulan mahupun hasil kerja sehari dua. Ia adalah bukti kukuh terhadap dedikasi, pengorbanan, integriti dan usaha berterusan yang telah anda curahkan sepanjang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau Tahun 2026.

Menurut Larry, mendidik dan mengurus pendidikan di kawasan luar bandar seperti Julau mempunyai cabaran tersendiri, namun 80 penerima yang diraikan berjaya membuktikan kekangan geografi bukan penghalang kepada kecemerlangan.

Katanya, penerima APC juga wajar menjadi teladan kepada rakan sejawat yang lain untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan di daerah itu.

“Di belakang setiap anak murid yang berjaya di Julau, ada warga PPD yang merancang strategi, ada pentadbir sekolah yang memimpin, dan ada guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana yang bekerja tanpa jemu.

“Pengorbanan anda semua amat saya hargai,” katanya.

Larry berkata, pendidikan merupakan pelaburan terpenting dalam usaha mengubah taraf hidup masyarakat dan membangunkan daerah Julau.

Sehubungan itu, beliau komited untuk terus menyokong pembangunan kemudahan sekolah dan keperluan pendidikan di daerah berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara PPD, sekolah dan wakil rakyat akan terus diperkukuh bagi memastikan anak-anak Julau tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat negara.

Pada masa yang sama, Larry menyeru penerima APC supaya menjadikan pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh.

“Jangan cepat berpuas hati, sebaliknya teruskan budaya kerja cemerlang, berinovasi dan mendidik dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga PPD dan guru yang belum menerima anugerah pada kali ini bahawa setiap titik peluh dan usaha gigih mereka tetap bernilai serta dihargai.

Katanya, kejayaan 80 penerima APC itu perlu dijadikan sumber inspirasi untuk bersama-sama melonjakkan prestasi pendidikan di daerah Julau ke tahap lebih tinggi.

Majlis turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Julau, Etam Linggi; Focal Person PIBKS Daerah Julau, En. Liban anak Guang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Cik Halianawati binti Maliki; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, En. Paul anak Mangka; dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, En. Kana anak Gengging.

Larry turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja atas penganjuran majlis berkenaan serta mengucapkan tahniah kepada semua 80 penerima APC 2025.

Beliau berharap PPD Julau terus maju dan berjaya menghasilkan modal insan yang berdaya saing demi masa depan daerah dan negara.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU