MIRI: Kes kecurian kuasa berkait perlombongan mata wang kripto, yang dikenal pasti berlaku di sebuah kediaman dua tingkat tidak berpenghuni di Desa Senadin di sini, menyebabkan kerugian kira-kira RM9,000 sebulan.
Sarawak Energy Bhd (SEB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kes dikesan oleh Syarikat SESCO Bhd (SESCO) dalam operasi bersama pihak polis baru-baru ini.
“Satu lagi kes kecurian kuasa berkait perlombongan mata wang kripto di sebuah rumah dua tingkat yang tidak berpenghuni di Desa Senadin.
“Siasatan mendapati kabel penoreh terus digunakan untuk memintas meter elektrik, bagi memberi kuasa kepada 12 pelayan perlombongan mata wang kripto.
“Selain itu, kipas ekzos juga dikesan disambung terus ke pelayan, dan penyambungan haram itu menyebabkan kerugian kewangan dianggarkan sebanyak RM9,000 sebulan,” katanya
Jelasnya, pihak SESCO telah memutuskan penyambungan belakan elektrik di rumah tersebut dengan kerjasama polis.
“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab, termasuk penyewa hartanah berkenaan,” ujarnya.
Pesalah yang disabitkan kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, untuk berdepan denda sehingga RM200,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun.
Sehubungan itu, pemilik hartanah dinasihatkan agar memastikan penyewa mematuhi peraturan elektrik, dan melakukan pemantauan berkala ke atas premis mereka bagi mengelakkan aktiviti haram.
SESCO kekal tegas dalam menangani kecurian kuasa, dengan pasukan pemeriksa mahir yang mampu mendedahkan walaupun pemasangan haram yang paling tersembunyi.
Orang ramai digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian elektrik.


