KUCHING: Keharmonian dan perpaduan yang menjadi tunjang pembangunan Sarawak perlu terus diperkukuh oleh golongan belia bagi memastikan kelangsungan kemajuan negeri.
Timbalan Pengerusi Yayasan Perpaduan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, keharmonian merupakan aset paling berharga yang dimiliki Sarawak, sekali gus menjadi asas kepada kestabilan dan pembangunan negeri itu.
“Perpaduan telah lama membolehkan Sarawak berkembang secara konsisten sehingga muncul sebagai sebuah negeri yang aman, stabil dan dihormati bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Apa sahaja yang kamu lakukan dan apa sahaja impian kamu, perkara paling penting ialah adanya keharmonian. Itulah kekuatan Sarawak,” katanya ketika merasmikan Projek SUARA 2.0 di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.
Tambah beliau, keamanan dan perpaduan kekal sebagai prasyarat penting untuk pembangunan berterusan.

“Keharmonian yang kita kecapi hari ini bukan berlaku dengan sendiri, tetapi terbina melalui pandangan jauh dan usaha gigih pemimpin terdahulu.
“Merekalah yang meletakkan asas kukuh supaya rakyat pelbagai kaum dapat hidup bersama dalam semangat saling menghormati,” ujarnya.
Menjelas lanjut, perpaduan masyarakat berbilang budaya di Sarawak turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Termasuk Singapura yang melihat perpaduan di Sarawak sebagai pencapaian membanggakan, memandangkan kepelbagaian kaum dan budaya yang kita miliki.
“Itu semua hasil usaha nenek moyang kita yang menyediakan landasan untuk kita bekerjasama sebagai satu rakyat,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru generasi muda agar menghormati dan mempertahankan legasi tersebut.
“Saya berharap peserta memastikan keharmonian yang dinikmati hari ini tidak diambil mudah, sebaliknya dipelihara melalui tindakan harian, pelibatan dalam komuniti serta kepimpinan yang bertanggungjawab,” tegasnya.
George turut menggalakkan peserta meneruskan perbincangan mengenai perpaduan dan pembangunan bersama rakan-rakan apabila kembali ke bahagian masing-masing.
“Amat digalakkan untuk kamu berkongsi apa yang dipelajari supaya lebih ramai belia terbuka terhadap idea baharu demi masa depan kita.
“Pastikan kamu tidak mensia-siakan beberapa hari kamu mempelajari ilmu sepanjang program ini,” katanya.
Projek SUARA 2.0 anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak berfungsi sebagai platform untuk belia terlibat dalam wacana, memahami dasar negeri serta memperkukuh peranan mereka dalam mempromosikan perpaduan di komuniti masing-masing.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak, Datuk Aloysius J. Dris.



