Kehidupan maritim sebelum prasejarah

SEJARAH maritim bermula daripada zaman prasejarah itu sendiri, buktinya ia ditemui di Gua Niah Miri.

Miri dikatakan satu-satunya penempatan purba yang masih terpelihara kerana kawasan lain ditenggelami air. Selain itu, pelbagai bukti maritim seperti keranda perahu dan bukti artifak me lambangkan bahawa kehidupan maritim sudah bermula sebelum zaman prasejarah.

Wartawan Suara Sarawak HAZIQ AZHAR mewawancara Ketua Unit dan Arkeologis Kanan Baszley Bee Basrah untuk berkongsi sejarah maritim di Borneo.

SUARA SARAWAK: Boleh ceritakan kehidupan maritim yang dapat diungkai daripada penemuan di Gua Niah.

BASZLEY BEE BASRAH: Memang benar ada bukti bahawa kehidupan maritim dijumpai di Gua Niah dengan penemuan tulang rangka Homo Sapeins. Menariknya, penemuan tulang rangka itu tertua di dunia yang pernah dijumpai.

Gua Niah dahulu dikatakan dekat dengan pantai yang tidak tenggelam dan ketika zaman ais dikatakan terletak berdekatan Pulau Jawa. Tetapi dipercayai orang purba tidak berani tinggal di Pulau Jawa kerana terletak gunung berapi. Namun, sejarah maritim Sarawak kena bermula daripada Gua Niah.

Daripada penemuan itu, kita yakin interaksi manusia dengan laut menghasilkan satu budaya yang tercatat pada hari ini. Buktinya, wujud aktiviti hidup manusia dan laut, hubungan yang amat rapat seperti aktiviti perdagangan menggunakan kapal yang sehingga hari ini, kita dapat melihat sumber air terlalu dekat dengan kehidupan orang Sarawak.

Bagaimana Sarawak dapat gelaran negeri tertua punyai sejarah maritim berbanding tempat lain?

Sudah semestinya jawapan ya kerana Sarawak terletak di jantung Borneo dan pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai Mediteranean Asian. Kedudukannya di tengah-tengah titik perdagangan mencetuskan evolusi teknologi kapal yang mendorong kepada pembuatan kapal perdagangan.

Tetapi pembuatan kapal pada masa itu menggunakan kayu yang mendapat sumber daripada kepulauan Borneo, tetapi sayangnya ia tidak tercatat dalam sejarah dan bukti yang ada hanyalah pada sejarah maritim di Santubong.

Maksudnya ada konflik catatan sejarah tentang penemuan dunia maritim untuk Sarawak?

Catatan awal hanya merekod tentang sejarah maritim di Teluk Marudu Sabah seperti tertulis dalam rekod Dinasti Song, Yuan dan Ming. Ia langsung tidak menyebut tentang Sarawak. Sejarah di Sabah dibuktikan dengan penemuan kapal karam tetapi lojiknya kawasan Sabah tidak sesuai untuk aktiviti perdagangan laut berbanding Santubong terutama dari segi keselamatan laut. Dan, hanya rekod Jawa dalam Babad Jawi dan Hindu-Buddha yang banyak merekodkan tentang Sarawak.

Sejarah membuktikan penemptan awal purba di tanah rendah bawah laut dikenali sebagai zaman ais. Boleh terangkan maksud zaman ais?

Penempatan awal zaman purba dikatakan tanah rendah terletak di bawah laut, ia berada tinggi seperti Gunung Everest. Ketika itu, dipercayai Miri antara kawasan yang berada dalam dua zaman, zaman ais dan zaman selepas ais – satu-satunya penempatan purba yang wujud.

Penempatan itu ditenggalami air dan menariknya, penempatan itu terbukti dengan mewujudan sungai yang ditemui di dalam laut.

Boleh ceritakan berkaitan kerajaan kecil di Borneo?

Hubungan perdagangan Borneo dan China boleh dikesan seawal pada abad kedua lagi. Kerajaan kecil dibina di Borneo bermula dengan penempatan di muara sungai.

Oleh itu, tidak menghairankanlah kenapa Brunei ketika di bawah zaman Sultan Muhammad Shah atau dikenali sebagai Awang Alak Betatar menguasai Sabah dan Sarawak kerana kuncinya ialah perdagangan.

Yang menariknya, Borneo pada satu ketika itu amat terkenal dengan sumber galian seperti logam, emas dan berlian. Kebanyakan orang dari luar datang ke Borneo semata-mata untuk mencari emas kerana Borneo kaya dengan sumber emas.

Banyak sumber dari Inggeris dan Amerika Syarikat menyebut bahawa Borneo sangat kaya dengan emas.

Sejarah China membuktikan wujud kegiatan lanun pada masa itu di Borneo…

Aktiviti perlanunan sangat terkenal di Borneo menyebabkan sesetengah pedagang takut datang berdagang ke Borneo. Borneo juga dikenali sebagai sumber perhambaan manusia, Orang Laut dikatakan menjadikan Borneo sebagai tempat untuk memperoleh hamba.

Kegiatan aktiviti lanun ini menjadi penyebab kerajaan kecil di Borneo mudah tumbang. Dinasti Song sendiri tumbang kerana ancaman serangan lanun.

Menyentuh tentang China, bagaimana pula tuan terangkan teori penghijrahan orang Cina ke Nusantara?

Orang dari Selatan China dilihat berkulit sawo matang dipercayai berhijrah ke Nusantara. Orang Cina sebenarnya berasal dari utara China dan penduduk asal Borneo ialah Austronesia.

Ada satu teori mengatakan penduduk Nusantara berasal dari gugusan Nusantara selepas itu berhijrah ke Selatan China.

Namun, berlaku pertembungan apabila orang Mongolia turut berhijrah ke Selatan China menyebabkan mereka kembali semula gugusan Nusantara.

Suara Sarawak