MARLENNY Deenerwan merupakan seorang pensyarah serta pengarah teater yang berpengalaman dalam bidang seni persembahan. Melalui buku Seni Teater Bangsawan, beliau memperkenalkan kepada pembaca mengenai seni teater bangsawan yang merupakan salah satu warisan seni tradisional dalam masyarakat Melayu.
Buku ini ditulis untuk memberikan pendedahan kepada pembaca, khususnya dalam kalangan pelajar yang mengambil bidang seni teater serta remaja yang meminati bidang teater bangsawan.
Penulis turut mengetengahkan sejarah serta perkembangan teater bangsawan selain menerangkan elemen-elemen penting yang dapat membentuk sesebuah persembahan bangsawan.
Teater bangsawan merupakan bentuk persembahan pentas yang menggabungkan pelbagai elemen seni seperti lakonan, muzik, nyanyian dan tarian. Gabungan elemen ini menjadikan persembahan bangsawan lebih menarik serta mampu memikat perhatian penonton.
Dalam persembahan bangsawan, jalan cerita biasanya berkisar tentang kisah raja-raja, puteri, pahlawan serta kisah pengembaraan yang sarat dengan konflik dan pengajaran.
Penulis turut menjelaskan bahawa keunikan teater bangsawan bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya, malah pada penggunaan kostum yang menarik, dialog yang dramatik serta muzik latar yang membantu menghidupkan suasana persembahan. Setiap elemen ini menjadikan teater bangsawan sebagai satu bentuk hiburan yang pernah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pada suatu ketika dahulu.
Buku ini mengandungi lima bab yang mengupas pelbagai aspek berkaitan teater bangsawan. Bab pertama bertajuk Sejarah dan Perkembangan Teater Bangsawan yang menelusuri perjalanan seni persembahan tersebut dari sudut sejarah.
Dalam bab ini, perkembangan bangsawan dihuraikan dengan membahagikannya kepada enam tempoh utama, bermula dengan kedatangan bangsawan di Tanah Melayu, diikuti era kegemilangan yang menyaksikan seni persembahan ini mendapat sambutan luas dalam kalangan masyarakat.
Bab ini turut menghuraikan bagaimana teater bangsawan berkembang selepas era pendudukan tentera Jepun serta usaha kerajaan dalam mempertahankan dan mempromosikan seni tersebut kepada golongan muda sehingga kini agar teater bangsawan terus relevan dan tidak pupus ditelan zaman.
Bab kedua bertajuk Konvensi Persembahan membincangkan pelbagai elemen penting yang menjadi asas kepada pementasan teater bangsawan. Konvensi dalam konteks ini merujuk kepada amalan atau aturan yang lazim digunakan dalam sesuatu persembahan.
Bab ini menerangkan beberapa komponen utama yang perlu diberi perhatian dalam pementasan bangsawan, termasuk susunan struktur persembahan, pembentukan watak dan perwatakan, teknik lakonan serta pergerakan pentas, penggunaan bahasa dan pengucapan dialog, selain elemen pementasan seperti tirai, rekaan set, prop dan kostum.
Turut dibincangkan ialah peranan adat istiadat serta elemen muzik, nyanyian dan tarian yang menjadi pelengkap kepada keseluruhan persembahan.
Sementara itu, bab ketiga bertajuk Repertoir Cerita menghimpunkan pelbagai kisah yang sering dijadikan bahan utama dalam pementasan bangsawan di Malaysia. Repertoir merujuk kepada kumpulan atau koleksi karya yang lazim digunakan dalam persembahan seni.
Bab keempat pula memberi tumpuan kepada tokoh-tokoh bangsawan yang pernah menyumbang kepada perkembangan seni persembahan ini di Malaysia.
Perbincangan dalam bab ini menyoroti peranan dan sumbangan mereka sama ada melalui pementasan, pelibatan aktif dalam dunia teater ataupun melalui penyelidikan dan penulisan akademik berkaitan bangsawan.
Akhir sekali, bab kelima yang bertajuk Pelestarian dan Kesinambungan merumuskan beberapa perkara penting berkaitan kedudukan seni bangsawan pada masa kini. Bab ini turut menyentuh usaha dan cabaran dalam memastikan kesenian tradisional tersebut terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi seterusnya.
Secara keseluruhannya, buku Seni Teater Bangsawan memberikan gambaran asas tentang seni persembahan bangsawan serta kepentingannya dalam perkembangan seni budaya tempatan.
Penulisan yang ringkas dan mudah difahami menjadikan buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan kepada pelajar serta individu yang berminat untuk mengenali dengan lebih dekat berkaitan warisan seni teater bangsawan.
Buku ini juga memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai proses pementasan teater bangsawan, sekali gus membantu pembaca mengenali seni persembahan tradisional tersebut dengan lebih mendalam.
Karya ini wajar dijadikan bahan bacaan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang meminati bidang teater agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam memartabatkan dan mengembangkan teater bangsawan di negara ini.
Selain itu, buku ini juga sesuai dijadikan bahan rujukan bagi pelajar institusi pengajian tinggi yang menjadikan teater bangsawan sebagai topik Projek Tahun Akhir (FYP), serta pelajar sekolah menengah yang menjalankan tugasan atau kerja kursus berkaitan seni persembahan.
Penulisan yang menggunakan bahasa yang mudah difahami, disertai ilustrasi serta gambar pementasan bangsawan, menjadikan buku ini lebih menarik dan memudahkan pembaca memahami isi kandungannya.



