KUALA LUMPUR: Kerja keras dan keinginan tinggi pemain menjadi kunci kejayaan Kuching City FC (KCFC) bangkit dengan persembahan lebih meyakinkan untuk membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 5-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026-2027, malam tadi.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen anak buahnya yang bekerja keras bagi memastikan pasukan meraih keputusan positif, terutama selepas melalui jadual padat dan beberapa perlawanan di tempat lawan.
“Syukur alhamdulillah, saya mahu memberikan kredit kepada pemain kerana bekerja keras untuk mendapatkan persembahan dan keputusan yang baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, pemainnya turut menunjukkan keinginan lebih tinggi dalam aksi kedua berkenaan, selain memperlihatkan peningkatan dari segi corak permainan berbanding pertemuan pertama di Kota Bharu.
“Pemain hari ini menunjukkan lebih keinginan dan dari segi persembahan juga sudah pasti meningkat,” katanya.
“Bukan mudah untuk bermain secara berturut-turut, apatah lagi melalui beberapa perlawanan di tempat lawan, tetapi pemain melakukannya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, KCFC sememangnya menjangkakan satu lagi perlawanan sukar berikutan karakter pemain KRW FC yang sentiasa bekerja keras tanpa mengira status mereka sebagai pemain tempatan atau import.
“Saya tahu hari ini akan menjadi satu lagi perlawanan sukar kerana pemain Kelantan sentiasa bekerja keras, tidak kira pemain asing atau tempatan, mereka tetap memberikan saingan,” katanya.
Mengulas aksi pertama di Kota Bharu, Aidil mengakui pasukannya berdepan sedikit masalah dalaman, namun enggan menjadikannya sebagai alasan atas keputusan seri tanpa jaringan.
“Kalau kita lihat perlawanan di Kelantan, ceritanya berbeza kerana kami menghadapi sedikit masalah dalaman, tetapi kami tidak mahu menjadikannya alasan,” katanya.
Aidil turut menyifatkan pemainnya semakin menunjukkan kematangan dan profesionalisme dalam menyesuaikan diri dengan tuntutan jadual pertandingan yang padat.
“Mereka profesional dan saya fikir mereka semakin perlahan-lahan menyesuaikan diri,” katanya.
Kemenangan 5-1 itu menyaksikan KCFC mara ke suku akhir Piala FA 2026-2027 dengan agregat sama selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama di Kota Bharu, minggu lalu.
KCFC seterusnya dijadualkan berdepan Kelantan City FC pada peringkat suku akhir kejohanan berkenaan.






