ARTIKEL

Majang melawat reruai pameran Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu di Dewan Suarah Bintulu pada Selasa.

Kejayaan Abang Jimmy terajui LNG wajar jadi inspirasi generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kejayaan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG, Abang Jimmy Abang Mordian, menerajui antara syarikat gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, pencapaian anak jati Sarawak itu membuktikan minat yang dipupuk sejak usia muda terhadap STEM, disertai usaha gigih, disiplin dan kesungguhan menimba ilmu, mampu membuka laluan kepada kerjaya cemerlang sehingga ke peringkat kepimpinan dalam industri tenaga global.

Menurutnya, pelajar tidak perlu mencari contoh kejayaan terlalu jauh kerana Abang Jimmy sendiri menjadi bukti bahawa kecemerlangan dalam bidang STEM mampu membawa seseorang mencapai kedudukan tertinggi dalam industri bertaraf dunia.

“Beliau mempunyai minat mendalam terhadap STEM sejak usia muda dan hasil kesungguhan menimba ilmu serta mengembangkan kepakaran dalam bidang teknikal dan pengurusan, beliau kini menerajui Malaysia LNG.

“Jadikan beliau sebagai inspirasi dan contoh teladan. Jika Abang Jimmy boleh melakukannya, saya yakin anak-anak semua juga mempunyai potensi yang sama untuk berjaya dalam bidang STEM pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu di Dewan Suarah Bintulu pada Selasa.

Beliau berharap lebih ramai pelajar akan menjadikan kejayaan Abang Jimmy sebagai pencetus semangat untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang STEM dan seterusnya menyumbang kepakaran kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Majang berkata pendidikan STEM bukan sekadar membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya menjadi asas penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam pelbagai sektor strategik seperti kejuruteraan, teknologi, tenaga, penyelidikan, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

Majang menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sekolah yang menyertai Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu.

Katanya, inisiatif seperti STEM On Wheels memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada pendidikan STEM serta memupuk minat pelajar terhadap bidang yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi masa depan.

“Program seperti ini membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali potensi diri dan melihat STEM sebagai laluan kepada kerjaya yang mampu mengubah kehidupan mereka, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak mudah berputus asa walaupun aliran sains sering dianggap mencabar kerana setiap bidang yang bernilai tinggi memerlukan komitmen, kesungguhan dan pengorbanan.

Menyentuh perkembangan teknologi semasa, Majang berkata pelajar hari ini mempunyai kelebihan kerana dapat memanfaatkan pelbagai platform digital seperti YouTube, TikTok, portal pembelajaran dalam talian serta aplikasi berasaskan AI untuk meningkatkan kefahaman dalam pembelajaran.

Bagaimanapun, katanya, teknologi hanyalah alat dan kejayaan bergantung kepada cara seseorang menggunakannya sambil menegaskan jika digunakan dengan bijak, teknologi mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan. Sebaliknya, jika disalahgunakan, ia boleh membawa kesan yang merugikan.

Beliau turut menyeru ibu bapa supaya terus memainkan peranan sebagai penyokong utama dalam pendidikan anak-anak dengan memberi perhatian, bimbingan dan pemantauan terhadap penggunaan teknologi digital.

Menurutnya, keluarga yang memberikan sokongan dan kasih sayang mampu melahirkan anak-anak yang lebih yakin, berdisiplin dan bersemangat untuk mencapai kejayaan.

Majang berkata, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi menjadi antara keutamaan negara dengan STEM diberikan peranan strategik dalam memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menetapkan sasaran supaya 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih aliran STEM menjelang 2030. Katanya, sasaran itu disokong melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta pembinaan sekolah antarabangsa menggunakan silibus Cambridge, termasuk sebuah sekolah antarabangsa yang bakal dibina di Bintulu.

“Semua inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan lebih ramai anak negeri mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Malaysia LNG atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Majang bersama kenamaan lain merakam gambar bersama peserta Program Memperkasa Ilmu: STEM Bergerak (Powering Knowledge: STEM On Wheels) anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha