ASAJAYA: Pertandingan Badminton Piala Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-7 2026 melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan penguasaan pemain pilihan dalam semua kategori yang dipertandingkan.
Gelaran juara bagi kategori utama menjadi milik pasangan Bernard Russell dan Ronney Leo selepas menewaskan Aizat Nabil dan Muhammad Izzuddin 21-19, 21-9 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Rahman Hamzah, Kampung Tambay, di sini.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan berkenaan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan dan hamper.
Manakala, pasangan Aizat Nabil dan Muhammad Izzuddin selaku naib juara menerima wang tunai RM700, piala dan hamper.
Bagi tempat ketiga bersama, pasangan Elvis Tiong/Freddie Lambert serta Nazid/Oliver yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM400, piala dan hamper.
Sementara itu, bagi saingan Piala Datin Sri Hajah Zuraini Abdul Jabbar Edisi Pertama, pasangan Raisya Adelia/Qiz Nur Masrsyella muncul juara selepas menewaskan pasangan Nur Natisya Arleana/Nur Khairunnisa Najwa pada perlawanan akhir.
Pasangan Jong San San dan Jong San/Caroline Lim serta Norkawi/Victoria pula muncul pemenang tempat ketiga bersama selepas tewas di peringkat separuh akhir.
Bagi Pertandingan Badminton Veteran Tertutup Kota Samarahan dan Jemputan Edisi Ke-3, pasangan Kalana Ali Hassan/William Jagat muncul juara selepas menewaskan Halikul Lenando/Lee Soon Tiong pada perlawanan akhir.
Pasangan Fleming Michel/Bong Chong Chok dan Razali/Johan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menduduki tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.






