KUCHING: Acara berprestij, Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas (PYFCT) 2026 dan Liga Bola Sepak Remaja Petronas (PYFCL) 2026 kembali lagi.
Saingan musim ini dijangka lebih sengit berikutan penyertaan tertinggi membabitkan 148 pasukan mewakili pelbagai kelab dan akademi.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peningkatan ketara penyertaan bagi kedua-dua kejohanan pada kali ini menyaksikan seramai 4,100 pemain dan pegawai mengambil bahagian.
“Peningkatan ini mencerminkan keyakinan tinggi daripada sekolah, akademi bola sepak, ibu bapa dan masyarakat terhadap kejohanan ini.
“Sekali gus, mengukuhkan kedudukannya sebagai platform ke arah memperkasakan pembangunan bola sepak belia yang unggul di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Tertutup Remaja Petronas (PYFCT) 2026 dan Liga Bola Sepak Remaja Petronas (PYFCL) 2026 di pejabatnya, sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman; Setiausaha Tetap MYSED, Dzulkornain Masron; Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Mat Rabu; serta wakil rakan strategik kejohanan.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 148 pasukan yang mengambil bahagian, 68 adalah dari Kuching, 56 dari Bintulu dan 24 dari Mukah.
“Pada tahun ini, kejohanan akan dilaksanakan di tiga bahagian, iaitu di Kuching bermula 25 Julai hingga 24 Oktober.
“Manakala saingan di Bintulu bermula 1 Ogos hingga 8 November, manakala di Mukah berlangsung dari 26 September hingga 15 November,” jelasnya.
Beliau turut berkata penganjuran kali ini menyaksikan Mukah sebagai satu lagi lokasi baharu, sekali gus memperluaskan akses kepada pembangunan bola sepak belia di Sarawak.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung penyerahan bola tajaan daripada Lea Sports Centre (LSC) yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Lea Holdings (M) Sdn Bhd, Raymond Sim Hee Pang.
Kejohanan itu melibatkan kategori Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 16 tahun.



