TEBEDU: Belia Kampung Taee dengan kerjasama Saberkas Kampung Taee, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taee serta Pusat Khidmat N.21 Tebedu bakal menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Tertutup Piala ADUN N.21 Tebedu, Dr Simon Sinang Bada 2026.
Pengerusi Kejohanan, Danny Cliffson memaklumkan bahawa penganjuran sukan berkenaan bertujuan merancakkan lagi pembangunan sukan bola sepak khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.

Menurut beliau, penyertaan kejohanan tersebut dihadkan kepada 32 pasukan sahaja yang berpangkalan di kawasan berkenaan.
“Kejohanan ini terhad kepada 32 pasukan sahaja dan sasaran penyertaan terdiri daripada kelab, persatuan atau kampung dalam kawasan DUN N.21 Tebedu sahaja,” ujar Danny kepada Arena Suara Sarawak hari ini.
Jelas Danny, pendaftaran kini dibuka dan wakil pasukan yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-8542507, Ramon (014-5934166) atau Dean (014-5995772).
“Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 5 April depan, manakala sepak mula dijadualkan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 12 April.
“Kesemua perlawanan akan dijalankan di padang bola sepak Kampung Taee,” tambah Danny lagi.
Mengulas mengenai ganjaran, beliau berkata hadiah wang tunai yang lumayan menanti kelompok pemenang utama.
Pasukan yang berjaya merangkul gelaran juara bakal membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta piala dan pingat.
Manakala, naib juara akan menerima wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat.
“Dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama,” kata beliau.





