LIMBANG: Seramai 76 orang peserta dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta Negara Brunei Darussalam mengibar cabaran pada Kejohanan Memanah Tradisional, semalam.
Kejohanan itu diadakan sempena Festival Kesenian Islam Bahagian Limbang 2025 dianjurkan oleh Kelab Memanah Tradisonal Jannatul Firdaus Limbang dengan Kerjasama Bomba Zon Tujuh Limbang.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, kejohanan ini merupakan inisiatif untuk memartabatkan sukan memanah tradisional sebagai aktiviti warisan, sunah dan kesenian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Kejohanan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturahim melalui penyertaan komuniti serantau dalam suasana pertandingan yang sihat serta memupuk minat generasi muda terhadap aktiviti kesenian Islam yang berunsurkan ketangkasan dan disiplin,” katanya dalam kenyataan. — TVS



