KUCHING: Kejohanan Pickleball 2024, yang berlangsung di Arena Sukan PIKABOL, Jalan Pending, semalam berjaya menarik minat pemain baharu dan berpengalaman.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd, salah satu agensi pelancongan terkemuka di Sarawak.
Agensi tersebut menganjurkan acara ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekatkan diri dengan pelanggan dan mengeratkan hubungan dengan komuniti.
Ia juga memberi peluang kepada pasukan Inter-Continental Travel Centre untuk memperkenalkan diri mereka kepada masyarakat yang mungkin belum tahu tentang perkhidmatan agensi itu, selain mengukuhkan lagi hubungan dengan masyarakat tempatan.
Acara ini dijayakan dengan sokongan padu pihak pengurusan profesional daripada pasukan PIKABOL Malaysia, yang memastikan penganjuran berjalan lancar dan memberikan pengalaman yang menyeronokkan bagi semua peserta.
Arena Sukan PIKABOL menyediakan kemudahan bertaraf tnggi untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan buat pemain dan penonton.
Hadiah menarik disediakan kepada pemenang, iaitu pingat, hamper dan hadiah yang ditawarkan dengan harga murah oleh penaja acara, AirAsia dan Malaysia Airlines.
Dalam pada itu, persaingan menyaksikan pasukan DBKU 2 (Azizy Sabri/Sufyan Morni) muncul juara selepas berjaya mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Naib juara pula milik pasukan FAMA 1 (Siti Khatijah Mohd Hussen / Zamharie Bujang), manakala pasukan UiTM 1 (Mohd Noor Ismail/Abdul Hakim Selamat) menduduki tempat ketiga.
Penganjuran kejohanan
ini menunjukkan potensi besar sukan ‘pickleball’ untuk menyatukan masyarakat pelbagai tahap pengalaman dan mengeratkan hubungan silaturahim melalui sukan.
Kejayaan penganjuran kejohanan ini menandakan satu lagi pencapaian bagi Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd dan PIKABOL Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen mereka untuk terus berhubung dengan komuniti tempatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara akan datang atau untuk menyertai komuniti ‘pickleball’ di PIKABOL Malaysia, orang ramai boeh melayari laman web PIKABOL Malaysia.


