Kejohanan sukan elektronik antarabangsa bakal diadakan di Sarawak

BINTULU: Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA) merancang untuk menganjur Festival Sukan Elektronik Antarabangsa Sarawak dalam masa terdekat.

Tanpa mendedahkan tarikh penganjuran, presiden SESA, Afiq Fadhli Narawi berkata festival yang bakal menarik penyertaan sebelas negara termasuk Malaysia itu bertujuan untuk mempromosi industri pelancongan menerusi sukan elektronik.

Seperti penganjuran sukan berbasikal Le Tour De Langkawi, penyertaan peserta luar negara mampu meningkatkan ekonomi setempat, katanya ketika berucap pada Kejohanan Sukan Elektronik Hari Sarawak 2019 bertempat di NAIM Paragon Street Mall, di sini.

Penganjuran festival tersebut juga, katanya, sebagai salah satu acara pemanas badan dan persediaan dalam menghadapi persaingan di Sukan SEA di Manila, Filipina pada November depan.

Acara ringkas perasmian disempurnakan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan.

Kejohanan yang merupakan sebahagian daripada acara pengisian sambutan Hari Sarawak 2019 itu berjaya menarik penyertaan seramai 130 orang peserta bagi sukan elektronik FIFA 19 dan 320 orang yang terdiri daripada 64 kumpulan bagi sukan elektronik Mobile Legends.

Afiq, dalam pada itu berkata penyertaan yang mengalakkan pada Kejohanan Sukan Elektronik Hari Sarawak 2019 menunjukkan bahawa sukan elektronik semakin mendapat sambutan dan perhatian masyarakat di Sarawak mahupun di Malaysia secara keseluruhannya.

Ia juga, katanya, menunjukkan semangat yang tinggi dalam kalangan golongan belia di Sarawak ke arah pembangunan sukan elektronik.

Sepanjang kejohanan itu berlangsung turut diadakan forum untuk berkongsi dan berbincang tentang nilai-nilai yang ada selain inisiatif yang dapat dilaksanakan dalam sukan elektronik untuk membantu kerajaan negeri mempromosikan ekonomi digital yang selari dengan inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg iaitu memperluaskan penggunaan teknologi dalam golongan masyarakat khususnya golongan belia.