ARTIKEL

AKSI... Antara peserta yang menyertai Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 di Dewan Suarah Mukah, hari ini.

Kejohanan Wushu perkasa bakat atlet muda Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 bukan sahaja menjadi medan mencungkil dan mengasah bakat atlet muda, malah menjadi platform memperkukuh semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penggiat sukan wushu dari seluruh Sarawak.

Pengerusi Persekutuan Wushu Negeri Sarawak, Allen Wong Siew Poh berkata, penganjuran kejohanan itu penting dalam melahirkan atlet yang berdaya saing serta memupuk semangat kesukanan yang tinggi.

“Setiap peserta perlu menjadikan pertandingan sebagai medan untuk menguji kemampuan, menimba pengalaman dan membina keyakinan diri, bukannya semata-mata mengejar kemenangan.

“Persaingan yang sihat akan membantu atlet meningkatkan prestasi masing-masing serta membentuk disiplin dan sikap saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 di Dewan Suarah Mukah, di sini, hari ini.

RASMI… Allen Wong Siew Poh bersama tetamu lain menyempurnakan simbolik perasmian Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 dengan memukul gong.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan atlet supaya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar walaupun aktif menyertai pelbagai kejohanan.

Katanya, kecemerlangan dalam bidang sukan perlu diseimbangkan dengan pencapaian akademik bagi memastikan masa depan peserta terus terjamin.

“Jadikan sukan sebagai platform membina sahsiah diri, namun pelajaran tetap perlu diberi keutamaan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk individu yang berjaya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wushu Bahagian Mukah, Ho Ing Siong berkata, kejohanan kali ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak.

SERAH… Mohd Arbi Rosli (dua kiri) menyerahkan Geran Padanan Sukan (GPS) kepada Persatuan Wushu Bahagian Mukah.

“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan sukan wushu terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

“Kejohanan kali ini menghimpunkan peserta dari Mukah, Balingian, Dalat, Oya, Sibu, Kanowit, Sarikei, Bintulu, Kuching dan Miri,” katanya.

Beliau berkata, sokongan semua pihak amat penting kerana menjadi pemangkin kepada atlet untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan wushu.

Dalam pada itu, Persatuan Wushu Bahagian Mukah turut menerima Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM20,000.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Mukah, Mohd Amirul Valentine Laiseh; Pegawai Bahagian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) Mukah, Rasidah Rasit; serta Penolong Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Mohd Arbi Rosli.

RAKAM KENANGAN… Peserta dan tetamu bergambar selepas perasmian Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026.

BERITA LAIN

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu

BERITA TERBARU