KUCHING: Kek buatan sendiri berasaskan corak pilihan semakin menjadi fenomena dalam masyarakat pada majlis sambutan hari ulang tahun mahupun majlis rasmi kerajaan.
Inovasi kek itu membenarkan pelanggan memilih corak pilihan masing-masing mengikut keinginan mereka, maka, tidak hairanlah kek sedemikian menjadi tumpuan.
Nur Liyana Adam, 29, merupakan antara pembuat kek ini dan telah berkecimpung dalam bidang itu sejak tahun 2016.
Wanita ini mendedahkan telah meminati bidang pastri sejak bangku sekolah lagi dan akhirnya membuka sebuah perniagaan dibawah jenama Caketageh.
“Caketageh ini adalah cetusan idea arwah sahabat baik saya iaitu Saufi Aiman yang membawa maksud ketagih dengan kek,” katanya.
Menurut Liyana, mulanya dia hanya membuat kek atas dasar minat mendalam namun rakanrakan dan keluarga terdekat memintanya untuk membuat kek untuk sambutan hari jadi.
“Sejak hari itu, rakan-rakan serta ahli keluarga menggemari kek saya dan menjadi pelanggan tetap yang menempah kek demikian acapkali majlis hari jadi diadakan.
“Apabila kek sampai di tangan kepada pelanggan (rakan-rakan), biasanya mereka merakam gambar kek ini terlebih dahulu untuk dimuat naik di dalam media sosial.
Apabila ramai orang melihat gambar itu, secara tidak langsung kek hasil tangan saya ini menarik perhatian ramai,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Kini, Caketageh telah mendapat tempat di pasaran terutamanya majlis korporat dan kerajaan.
Liyana juga berkongsi pernah mendapat tempahan khas untuk ulang tahun kelahiran Yang diPertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada tahun lalu.
“Saya sangat teruja kerana diberi kepercayaan untuk membuat kek ini untuk ulang tahun Tun Taib.
Pada masa sama, saya juga berasa gementar memandangkan kek itu akan diberi kepada oleh orang nombor satu Sarawak.
“Justeru untuk memastikan kek tersebut menepati kehendak pelanggan, saya dan krew sentiasa berbincang dalam menyiapkan kek itu.
Kami juga memastikan kualiti kek tetap bertahan sehingga sampai ke kediaman rasmi Tun Taib,” tambah Liyana.
Mengulas mengenai harga hasil tangannya pula, wanita ini berkata, keknya bermula pada harga asas iaitu RM70 dan akan dicaj mengikut corak yang diinginkan oleh pelanggan.
Kek itu juga menggunakan bahan yang berkualiti dan menggunakan mentega asli.
“Kita mahukan kek berkualiti, maka kita perlu menggunakan bahan yang berkualiti,” tegasnya.
Beliau menambah, tempahan kek biasanya dibuat lebih awal.
“Saya memerlukan tempoh masa yang lama sekiranya corak kek yang diinginkan rumit.
“Setiap hari saya hanya boleh membuat maksima lima biji kek dan ia juga bergantung dengan tahap kesukaran corak kek tersebut,” ujarnya.
Memandangkan keknya mendapat permintaan hangat, beliau mampu menjual sehingga 40 biji dan berupaya mengaut lebih RM10,000 setiap bulan.
“Tempahan kek ini bukan sahaja untuk ulang tahun, malah kami turut menerima tempahan majlis persaraan ataupun hari perkahwinan,” ujar Liyana.
Pemilik Caketageh itu juga berkata, ada kalangan pelanggannya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi di Kota Samarahan.
Atas sebab itu, beliau tidak menafikan pelajar ataupun orang muda lebih menggemari kek sedemkian kerana mereka boleh meminta apa sahaja corak yang diinginkan.
“Kebanyakan orang muda ini gemarkan sesuatu yang cantik dan unik.
Mereka memilih pelbagai jenis corak menarik kemudiannya memuat naik gambar kek dihantaran media sosial,” kongsinya.
Bercerita tentang cabaran menguruskan permintaan pelanggan, Liyana akui sememangnya beliau memerlukan kesabaran yang tinggi memandangkan kek itu direka mengikut corak pilihan pelanggan.
Pelanggan akan memberikan corak pilihan dan Liyana akan menentukan harga untuk persetujuan pelanggan.
Liyana turut berkata, kualiti kek akan bertahan maksima hingga dua minggu sekiranya kek itu disimpan di dalam peti sejuk.
Sejajar dengan perkembangan perniagaanya, beliau berhasrat untuk meluaskan pasaran Caketageh dengan membuka perniagaan runcit bagi perancangan jangka masa panjang.
Terdahulu, jenama Caketageh yang meluas melalui promosi ‘mulut ke mulut’ itu mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat kerana ia sesuatu yang baharu dan unik.






