PULUHAN tahun mengusahakan kek lapis sehingga hari ini, Kek Lapis Warisan Sdn Bhd mengekalkan “resipi nenek” dan memberi nilai tambah dalam beberapa produk jualannya.
Bercerita lanjut, Pengasas Kek Lapis Warisan Sdn Bhd, Dr Mohamad Hafeezi Datuk Abdullah, mendedahkan ia merupakan perniagaan keluarga yang dimulakan oleh neneknya.
“Sebenarnya nama perniagaan ini Kek Lapis Warisan Sdn Bhd diambil daripada resipi warisan turuntemurun — resipi pembuatan kek lapis di sini kami ambil daripada resipi nenek.
“Resipi nenek pun daripada mak dia, jadi dari generasi kepada generasi yang lain.
“Oleh itu, kami ambil nama Kek Lapis Warisan atas sebab resipi tu warisan zamanberzaman,” katanya.
40 ANEK KEK LAPIS
Kata Hafeezi, Kek Lapis Warisan menawarkan lebih 40 jenis kek lapis yang terbahagi kepada dua kategori — biasa dan premium.
Lebih menarik, walaupun menelusuri pelbagai penambahbaikan ke arah resipi kek moden, namun ia masih mengekalkan konsep kek lapis tradisional.
“Kita masih mengekalkan kek lapis tradisional dan kita ada kek lapis moden.
“Ia merupakan resipi asli, untuk menghasilkan kek lapis, kita mesti ikut 100 peratus resipi sebagai rujukan asas.
“Begitu juga dengan tepung dan jenis mentega, itu ialah kek resipi tradisional.
Manakala, kek lapis moden kita ubah kek tersebut supaya kekal diminati mengikut permintaan semasa,” katanya.
NILAI KOMERSIAL
Tambahnya, penubuhan perniagaan itu tercetus semasa menyambung pelajaran di Semenanjung Malaysia.
Perjalanan ulang alik Kuching ke Johor turut membawa ‘pesanan’ kek lapis daripada rakan-rakan, maka dari situ tercetuslah idea untuk mengusahakan perniagaan kek lapis.
“Permintaan tinggi dari Semenanjung Malaysia, membuatkan saya terfikir mengusahakannya sendiri bersama-sama keluarga.
“Kita ada resipi turuntemurun keluarga, jadi di situ bermulanya perniagaan ini.
Kek lapis saya bawa ke Semenanjung Malaysia, semakin hari semakin meningkat permintaan,” katanya.
Lazimnya, kek lapis hanya dimakan pada musim perayaan, namun kini tidak lagi setelah ia dikomersialkan.
Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan kek lapis sebagai produk yang memberi pulangan pada hari biasa.
“Kita biasa makan kek lapis pada musim perayaan, tetapi oleh sebab kek lapis ialah produk komersial, jadi saya ambil peluang buat sendiri dan bawa kek lapis ke Semenanjung Malaysia supaya mereka boleh merasai kek lapis tersebut.
“Pada hari raya, kita di Sarawak meriah dengan pelbagai jenis kek lapis di meja, jadi kita mahu semua dapat menikmatinya bukan hanya Hari Raya, tetapi pada hari biasa dapat menikmati kek lapis,” jelasnya.
PAMER PEMBUATAN KEK LAPIS SECARA LANGSUNG
Salah satu tarikan di Kek Lapis Warisan Sdn Bhd, pelanggan berpeluang menyaksikan proses pembuatan kek lapis secara langsung.
Pelanggan boleh ke stesen pembuatan bagi menyaksikan sendiri cara membuat kek termasuk proses melapis.
“Kita mempunyai tarikan utama, kita bawa pelanggan dan pelancong datang dan dapat lihat sendiri pembuatan kek lapis.
“Kita bawa mereka lihat proses pembuatan kek lapis secara langsung dan kami galakkan pelanggan datang dan cuba sendiri.
“Apabila mereka menyaksikan proses pembuatan kek lapis, mereka faham bahawa ia bukan proses yang mudah kerana membuat satu kek lapis mengambil masa lebih dari satu jam untuk siap.
HANTAR TERUS KE HOTEL
Salah satu perkhidmatan lain yang ditawarkan Kek Lapis Warisan ialah penghantaran pesanan secara terus ke penginapan pelanggan.
Ini kerana kata Hafeezi, sesetengah pelanggan tidak berkesempatan datang ke kedai, jadi pihaknya boleh membuat pesanan dan dihantar ke hotel.
“Kadang-kadang ada sesetengah pelanggan yang mengikuti kursus di hotel tidak berkesempatan untuk singgah membeli kek lapis, jadi kita buat pemasaran dalam talian, kita hantar katalog pesanan di hotel, lapangan terbang dan rumah inap di sekitar Kuching.
“Penghantaran ke Semenanjung Malaysia juga dilakukan setiap minggu.
“Sebarang pertanyaan, kita ada Facebook dan Instagram Kek Lapis Warisan Sdn Bhd atau terus hubungi melalui WhatsApp (0102358969),” katanya.
Penghantaran dibuat pada setiap Isnin, sebarang pesanan diproses dalam tempoh dua hingga tiga hari dan sampai kepada pelanggan dalam masa terdekat dengan selamat.



