KUCHING: Mangsa banjir yang terjejas digalakkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka dapat diuruskan dengan lebih berkesan, khususnya dari segi penyediaan bekalan makanan, minuman dan keperluan asas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mangsa yang memilih untuk kekal di kediaman masing-masing berkemungkinan berada di kawasan yang terjejas pada tahap minimum, namun langkah berpindah tetap disarankan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

Menurut beliau, mangsa yang berpindah dan berdaftar di PPS akan dimasukkan dalam senarai penerima bantuan bagi memastikan keperluan asas mereka mencukupi sepanjang tempoh bencana.
“Pihak JKM, pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan sentiasa berada di lokasi. Namun, sekiranya mangsa berada di rumah sendiri, mereka perlu mendaftar di PPS bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu bersama Fatimah Abdullah hari ini.

Nancy menambah, pendaftaran mangsa amat penting khususnya melibatkan golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU), kerana ketiadaan maklumat berdaftar boleh menyukarkan penyelarasan bantuan dari segi keselamatan dan kebajikan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JKM sebelum ini telah memperkenalkan kemudahan pendaftaran kendiri menerusi sistem myIBJKM, yang dimulakan di Kuching dan kini dilaksanakan di seluruh negara bagi memudahkan pengurusan maklumat mangsa serta mengelakkan sebarang isu berkaitan tuntutan bantuan.
“Pembukaan dan pengoperasian PPS secara berperingkat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terus terpelihara, selaras dengan tahap keparahan bencana di sesuatu kawasan.
“Bagi memastikan operasi berjalan lancar, ramai pegawai kerajaan turut dibekukan cuti mereka bagi membolehkan tugas pengurusan dan penyelarasan bantuan dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan PPS, Nancy berkata sebanyak 9,058 pusat pemindahan sementara dikenal pasti dan bersedia digunakan di seluruh negara, dengan kapasiti menempatkan sehingga dua juta mangsa.

Katanya, PPS yang berdaftar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, khususnya dewan masyarakat dan dewan sekolah yang telah dikenal pasti untuk tujuan pemindahan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat perancangan untuk menambah Pusat Kawalan Operasi (POB) berikutan situasi banjir semasa, beliau berkata pihaknya akan bertindak mengikut keperluan.
“Setakat ini, kita menggunakan apa yang ada dan sentiasa bersedia untuk menambah jika perlu. Bekalan sedia ada juga melebihi keperluan kerana perancangan sentiasa dibuat berdasarkan anggaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dari segi perancangan serta penentuan keperluan, semuanya telah disusun rapi bagi memastikan pengurusan bantuan bencana berjalan lancar dan berkesan.




