Kekalkan JK status warganegara

KOTA SAMARAHAN: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah akan meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Jawatankuasa Khas Sarawak berhubung kewarganegaraan yang tidak diteruskan lagi.

Menurutnya, menerusi surat bertarikh pada 22 Julai lalu memaklumkan kertas kerja untuk kes tertunggak dengan jawatankuasa terbabit tidak diperlukan lagi.

“Saya berharap Muhyiddin memberi penjelasan sewajarnya kerana beliau akan menghadiri majlis penyampaian sijil kewarganegaraan di Kuching esok (Isnin).

“Bagaimanapun, saya tidak dapat bertemu dengan beliau kerana mengadakan lawatan kerja berkaitan orang kelainan upaya (OKU) di Perth Australia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutupan OKU Got Talent di Summer Mall di sini semalam.

Tegas Fatimah, sejak jawatankuasa itu ditubuhkan pada Oktober 2016 di bawah seliaan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, sebanyak 127 daripada 723 pemohon berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Saya juga melihat jawatankuasa ini harus diteruskan kerana ramai kanak-kanak tercicir daripada alam persekolahan dan gagal menikmati kemudahan diberikan oleh Kerajaan Malaysia kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Sekiranya kanak-kanak tidak mendapat sebarang pendidikan kerana isu ini, maka, ia mengundang masalah sosial kepada negara,” jelasnya.

Oleh itu, beliau berharap kunjungan Muhyiddin ke Kuching minggu depan dapat membuat sebarang pengumuman bagi menyelesaikan isu terbabit.

Malah, Fatimah turut percaya terdapat campur tangan politik dalam isu tidak meneruskan jawatankuasa tersebut yang sepatutnya tidak harus berlaku.

“Surat pemakluman pembubaran jawatankuasa terbabit menimbulkan tanda tanya kerana tidak ditandatangani sendiri Menteri KDN (Muhyiddin).

“Ini kerana sebelum ini, Muhyiddin memberi respons positif terhadap jawatankuasa tersebut ketika pertemuan 22 Februari lalu,” ujarnya.

Maka katanya, keputusan untuk membubarkan jawatankuasa berkenaan bukan dibuat sendiri oleh Muhyiddin.

Beliau turut memberitahu, terdapat surat KDN untuk memasukkan beberapa ahli DAP Sarawak diketuai Pengerusinya Chong Chieng Jen bersama-sama rakannya telah berjumpa dengan Muhyiddin agar dimasukkan dalam jawatankuasa khas terbabit.

“Nama lain ialah Adun Pending Violet Yong, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dan Senator Alan Ling. Jadi, respons saya kepada surat tersebut adalah untuk menawarkan Adun Bukit Assek Irene Chang juga daripada DAP Sarawak dimasukkan ke jawatankuasa khas terbabit kerana kami pernah bekerjasama mengkaji pindaan sedia ada,” jelasnya.

Maka beliau berpendapat, sebarang dasar yang membawa kebaikan kepada Sarawak seharusnya diteruskan dan jangan mempolitikkan isu penting ini. “Sekarang, kita tunggu apa sebenarnya yang mereka (DAP Sarawak) ingin lakukan. Dalam pada itu, saya berharap agar Muhyiddin menarik balik keputusan tersebut,” katanya.