SIMUNJAN: Penganjuran Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri dilihat sebagai platform terbaik bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu, program tersebut juga dapat menyaksikan hubungan dan perpaduan antara kaum yang meraikan perayaan ini dapat diperkukuhkan lagi.
Ia mengambil kira wujudnya budaya kunjung-mengunjung ke majlis yang dianjurkan.
“Kita dapat melihat wujudnya semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat dengan adanya program seumpama ini.
“Justeru, kita harus mempertahankan elemen yang merupakan lambang keharmonian masyarakat di negeri ini,” ujarnya.
Awla berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Kampung Kelka, Simunjan malam tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, ketua jabatan agensi kerajaan dan ketua masyarakat.
Menurut Awla, program yang merupakan aktiviti tahunan bagi penduduk Kampung Kelka (Kelka, Hulu, Kelka Tengah dan Kelka Hilir) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kelka, Simunjan.
Sementara itu, Rodiyah ketika berucap menzahirkan rasa kagum dengan pengelolaan program berkenaan walaupun ia merupakan aktiviti tahunan bagi penduduk kampung terbabit.
Ia mampu menjadi landasan terbaik dalam merapatkan silaturahim antara semua pihak terlibat.
“Kita tahu majlis ramah-tamah yang dianjur setiap kali Hari Raya Aidilfitri amat besar maknanya.
“Selain merupakan pencetus kemeriahan suasana hari lebaran, ia juga berperanan merapatkan hubungan silaturahim antara yang terlibat,” tegas Rodiyah.
Lebih 300 penduduk menghadiri majlis tersebut yang menyajikan juadah, kuih-muih dan pelbagai hidangan.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan program sampingan lain.






