Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dikekalkan untuk menerajui negara sehingga tamat penggal Parlimen.
Premier Sarawak itu berkata mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa yang menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya dan sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.
“Jika Perdana Menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis… kalau (kita tukar Perdana Menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa ialah rakyat,” katanya semasa sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak, malam tadi.



