KUCHING: Levi karbon ke atas sektor minyak, gas dan tenaga akan diperkenalkan pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada mekanisme penetapan harga karbon, sekali gus mempercepat peralihan Sarawak menuju ekonomi hijau.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, levi yang berasaskan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Gas Rumah Hijau) 2023 itu akan dikenakan ke atas pelepasan yang dijana dalam Sarawak oleh fasiliti terkawal dalam sektor minyak, gas, dan tenaga.
“Hasil levi akan disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim (CCF) bagi menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, inisiatif kecekapan tenaga, pemodenan grid, pemuliharaan hutan dan projek daya tahan iklim untuk manfaat komuniti di seluruh Sarawak.
“Dalam usaha Sarawak mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, penetapan harga karbon menjadi instrumen dasar penting, iaitu menginternalisasi kos alam sekitar dan sosial, mengurangkan pelepasan dalam sektor berintensiti tinggi, mempercepat peralihan ekonomi hijau, serta memastikan peralihan yang adil kepada pekerja dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Menurutnya, Sarawak bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan cukai karbon nasional dan rangka kerja penetapan harga karbon pada masa hadapan dapat diselaraskan.
“Dengan Ordinan yang telah berkuat kuasa, sistem Pengukuran, Pelaporan, dan Pengesahan yang mantap, pemodelan lanjutan, serta reka bentuk dasar terperinci yang sedang dijalankan, Sarawak kini mempunyai asas untuk menyokong dan memimpin usaha nyahkarbon Malaysia.
“Langkah ini turut memenuhi Sumbangan Nasional Yang Ditentukan (NDC) serta membangunkan pasaran karbon domestik yang kukuh, sekali gus membuka potensi sebagai sumber hasil baharu negeri,” jelasnya.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Strategi Sifar Bersih Sarawak dan Pelan Karbon, Kajian Levi Karbon dan Penetapan Harga Karbon Sarawak, Program Pelaksanaan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, serta Pengukuran Stok Karbon Hutan di Sarawak.
Beliau menambah, sejumlah RM30.73 juta akan diperuntukkan termasuk RM10 juta untuk Taman Perindustrian Bio dan Pusat Komersialisasi Bioproses Sarawak di Samarahan, serta RM6 juta untuk kemudahan pertama Sarawak yang diperakui GMP bagi pengeluaran produk nutraseutikal berasaskan sumber biologi negeri.
“Selain itu, RM3 juta bagi pembangunan Pusat Pengurusan Hutan Lestari di Loba Kara, Kuching; RM6.2 juta untuk program alam sekitar oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB); dan RM1.4 juta bagi pengukuhan penguatkuasaan hutan melalui pemodenan teknologi dan peralatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan institusi serta mempercepat usaha mencapai pengurangan pelepasan yang terukur dan kelestarian alam sekitar.
Tegasnya, perlindungan hidupan liar dan biodiversiti kekal sebagai keutamaan utama, dengan RM4.8 juta disediakan untuk memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan mutlak termasuk menaik taraf fasiliti dan meningkatkan usaha pemuliharaan di lokasi keutamaan.
“Sebagai sokongan, RM62 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak bagi memastikan operasi, penguatkuasaan, dan pengurusan hidupan liar di lapangan dapat dijalankan secara efektif di seluruh negeri,” ujarnya.



